Oleh Irfan Khairi.[8 Julai 2013]
Hari ini, menjalankan perniagaan dari rumah bukan lagi perkara yang asing dengan adanya Internet.
Sebelum memulakan perniagaan, bukan sekadar kita perlu melengkapkan peralatan dan strategi untuk berniaga, kita juga turut perlu melengkapkan mindset kita untuk berjaya. Berikut adalah antara Mindset yang perlu ada untuk berniaga dari rumah.
1. Ketahui dan fahami sebab musabab anda ingin memulakan perniagaan. Pastinya menjalankan perniagaan, tujuannya adalah untuk mendapatkan keuntungan membantu diri dan keluarga. Mungkin bunyinya agak mementingkan diri, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa, memulakan perniagaan perlu bermatlamatkan keuntungan!
90% perniagaan gagal dalam tahun pertama sahaja beroperasi. Sebabnya? Tidak mendapat keuntungan! Fahami bahawa, tujuan anda berniaga adalah untuk mendapat keuntungan, dan keuntungan hanya akan datang apabila anda mengaplikasikan ilmu dan strategi perniagaan dengan betul. Lengkapkan minda anda dengan ilmu perniagaan ini.
2. Kerja dari rumah, ada juga dugaannya. Katil sedang memanggil, sofa sedang memujuk dan TV menyajikan rancangan-rancangan menarik!
Walaupun dari rumah, hasilkan jadual yang terperinci dan tepat untuk anda ikuti- tetapkan masa rehat, makan, minum, solat seperti mana anda lakukan di tempat kerja sebelum ini. Hasilkan jadual seperti di sekolah dulu, di mana waktu tertentu digunakan untuk melakukan aktiviti perniagaan tertentu.
Tanpa disiplin yang tegar, pastinya bekerja dari rumah hanya menjadi mimpi- terutamanya bila katil memanggil!
3. Ketahui kekuatan dan kelemahan anda! Memang sering saya menyebut, memulakan perniagaan, perlu mengikut minat, kebolehan dan kekuatan kita. Namun, jangan lupa pula dengan KELEMAHAN kita. Pandai bermain gitar, tidak bermakna pandai berniaga gitar. Pandai memasak, tidak bermakna pandai berniaga masakan. Pandai berfesyen, tidak bermakna pandai menjual pakaian.
Dalam apa yang kita lakukan, fikirkan juga kelemahan yang ada pada kita. Berniaga dari rumah, sering kali dilakukan seorang diri. Tiada orang akan menganggu kita. Dalam waktu yang sama juga, tiada siapa yang akan menegur kita tentang kelemahan yang ada.Jangan sahaja melihat kekuatan, tetapi, lihat juga kelemahan.
Berniaga dari rumah bukan sahaja peluang pulangan kalau betul caranya, adalah lumayan. Tetapi, berniaga dari rumah dapat merapatkan hubungan kekeluargaan oleh kerana masa kita lebih banyak bersama keluarga tercinta!
Artikel ini adalah ekstrak artikel Irfan Khairi di Harian Metro, sisipan Majalah Metro, setiap Jumaat. Jangan lepaskannya!
No comments:
Post a Comment