Monday, November 04, 2013

Bajet Lari Selepas Raya?

Oleh Irfan Khairi.[10 September 2013]

Hari Raya datang setahun sekali sahaja. Dan sering kali waktu inilah pelbagai perbelanjaan tidak diduga perlu dikeluarkan ataupun telah dikeluarkan. Mungkin tertewas dengan segala jualan murah pakaian dan perkakasan rumah. Ataupun, perbelanjaan lebih untuk makanan dan minuman ketika berbuka puasa di luar. Tak lupa juga kos ekstra yang perlu untuk balik kampung dan memeberi duit raya kepada anak-anak buah.

Mungkin selepas raya, terasa sakit sedikit akibat bajet telah lari. Artikel kali ini saya ingin kongsikan 4 perkara yang anda boleh lakukan untuk memperkemaskan kembali bajet anda selepas musim perayaan:

1. Mulakan satu kalendar perbelanjaan dan bakal perbelanjaan anda. Yang dimaksudkan bukan kalendar poket kecil ataupun kalendar di smartphone dan telefon bimbit anda, tetapi kalendar yang besar sedikit untuk membolehkan anda menulis dan mencatatkan segala perbelanjaan anda. Di Internet juga anda boleh muat turun template-template kalendar sebegini di mana terdapat ruang yang cukup untuk catatan perbelanjaan anda untuk setiap hari.



Ia amat penting untuk anda mula menjejak perbelanjaan harian anda serta menulis lebih awal perbelanjaan yang bakal anda perlu keluarkan seperti bayaran bil, rumah, kereta, dan sebagainya untuk bulan-bulan yang akan datang. Bila menulis setiap transaksi yang berlaku dan transaksi yang akan datang pada kalendar, anda akan nampak dengan lebih jelas bagaimana anda boleh mengawal kewangan anda untuk  menampung perbelanjaan yang sudah lari bajet pada musim perayaan.



2. Mula kurangkan perbelanjaan harian. Ubah rutin anda sekiranya rutin anda memerlukan perbelanjaan yang boleh dielakkan. Dari pergi keluar menonton wayang bersama keluarga yang memakan kos pengangkutan, makan minum serta bayaran panggung, luangkan masa di rumah di mana anda boleh jimatkan berpuluh hingga beratus ringgit sekali keluar. Sekiranya anda mempunyai keahlian kelab, gym atau apa sahaja yang boleh dihentikan, maka hentikan untuk sementara. Lagipun, sekiranya hendak bersenam, di rumah pun boleh bukan?



Kesan perbelanjaan-perbelanjaan rutin anda yang boleh dikurangkan, dan kurangkannya untuk sementara waktu sehingga kewangan kembali stabil.

 Image
3. Untuk menambahkan kewangan kita, hanya dua cara sahaja. Iaitu, mengurangkan perbelanjaan dan menambahkan pendapatan. Mungkin rezeki bulan Ramadhan ini yang meriah dengan pelbagai perniagaan bermusim membuka mata anda untuk anda sendiri cuba mulakan perniagaan juga.



9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan, mungkin tiba masanya untuk anda menuntut rezeki ini. Terdapat pelbagai perniagaan yang boleh dimulakan, nasihat saya, diperingkat awal cuba lakukan perniagaan yang tidak memakan kos atau mempunyai risiko yang tinggi. Jangan pula waktu kesempitan wang, bertambah pula tekanan kepada anda. Lakukan penyelidikan dan bacaan untuk mendalami perniagaan separuh masa yang anda boleh mulakan seperti perniagaan di Internet .



4. Bulan Ramadhan, penuh dengan pelbagai jualan murah, tawaran istemewa, dan sebagainya di pusat membeli belah. Mungkin ini antara sebabnya bajet kita lari. Jangan lupa selepas Hari Raya ni, jualan sebegini akan terus bersambung juga seperti jualan penghabisan stok, tawaran Aidilfitri dan sebagainya!



Jangan seperti pisang berbuah dua kali. Sudah lah lari bajet, akibat tawaran yang serupa, semakin tenat jadinya kewangan anda.



Musim perayaan sering membuatkan bajet kita lari. Mudahan dengan 4 tip mudah ini dapat menstabilkan bajet anda kembali untuk bulan-bulan yang akan datang kepada mereka yang memerlukan.

No comments: