Oleh: Irfan Khairi.[2 Julai 2014]
Sememangnya keadaan yang amat menekankan sekiranya dalam keadaan tiada wang, tambahan lagi sekiranya tanggungjawab adalah besar mungkin membayar rumah, kereta dan makan minum keluarga. Ketika bujang dulu, kalau tiada duit, mungkin boleh mengikat perut tetapi bagi yang berkeluarga, agak berat apabila ahli keluarga yang lain pula terpaksa memikul bebannya.
Berbagai-bagai alasan akibat tiada wang. Mungkin gaji kita rendah, ataupun bisnes yang dijalankan kurang mendapat sambutan. Ada juga alasan harga barangan semakin meningkat dan kos sara hidup juga turut meningkat. Ataupun sesuatu yang tidak diingin berlaku yang menyebabkan kurangnya wang di poket atau bank seperti ahli keluarga jatuh sakit ataupun berlakunya kemalangan.
Tidak kira apa sahaja alasan yang menyebabkan tiada wang, tanggungjawab tetap pada diri sendiri untuk keluar dari keadaan itu. Dengan hanya memberi fokus pada alasan dan masalah yang dihadapi, pastinya lebih banyak lagi bebanan dan tekanan yang akan dialami. Sementara hati dan minda gusar memikirkan masalah hendak membayar bil, tiba-tiba kereta pula buat hal dan perlu hantar ke bengkel - bertambah masalah!
Sememangnya tiada siapa yang mahu terjerumus dalam keadaan ini. Tetapi, sekiranya ia terjadi, langkah pertama adalah untuk mengakui keadaan ini. Tiada guna untuk memejamkan mata dan cuba mengabaikan sindrom tiada wang oleh kerana pastinya makin lama makin teruk. Sekiranya kini sudah teruk, bulan hadapan atau tahun hadapan pastinya lagi berganda-ganda teruk jika tidak diambil langkah. Mengakui ianya terjadi adalah langkah pertama untuk menerima hakikat bahawa masalah itu wujud.
Langkah kedua adalah untuk menyalahkan seseorang. Pastinya apabila dalam keadaa tiada wang, terdapat pihak yang bersalah. Adakah hendak menyalahkan majikan kerana memberi gaji ciput? Menyalahkan kedai-kedai kerana menaikkan harga barang? Atau menyalahkan ahli keluarga kerana jatuh sakit?
Pastinya tidak. Seseorang yang perlu disalahkan adalah diri sendiri.
Selagi kita tidak melihat kesilapan kita dalam menguruskan kewangan, selagi itu kita tidak akan berjaya memperbaiki keadaan kewangan diri dan keluarga. Mungkin sesuatu terjadi adalah di luar kawalan anda yang mengakibatkan anda dalam masalah kewangan. Tidak kira apa pun, letak diri sendiri sebagai puncanya oleh kerana tiba masanya untuk anda perbaiki diri sendiri. Kalau tidak melihat kesilapan, pastinya kita tidak akan perbaiki diri.
Langkah seterusnya, adalah untuk lihat kembali perjalanan hidup anda. Apakah yang menyebabkan anda terjatuh dalam keadaan tiada wang? Inilah waktunya untuk muhasabah diri sendiri. Sama ada mungkin dulu anda tidak menguruskan wang dengan cekap, atau anda sering membazirkan wang. Mungkin juga anda tidak membazirkan wang, tetapi ahli keluarga yang lain tidak mempunyai matlamat yang sama dengan anda dan membelanjakan wang dengan boros. Sering juga saya dengar masalah terlalu percayakan kawan dengan wang, tetapi kepercayaan tersebut disiakan dan kawan hilang, wang pun hilang. Ada juga keadaan di mana kita hidup diluar kemampuan pendapatan diri yang membuatkan masalah kewangan.
Apabila telah dikenalpasti di mana kesilapan diri, tiba masanya untuk berjanji untuk tidak mengulangi benda yang sama.
Langkah terakhir adalah untuk anda ubahkan hidup anda. Sekiranya melakukan perkara yang sama sahaja, pastinya keputusan juga sama. Maksudnya di sini adalah, sekiranya tiada duit, sememangnya perlu ubah gaya hidup anda.
Untuk bejaya dalam kewangan, hanya ada dua perkara sahaja yang perlu dilakukan. Sama ada kurangkan perbelanjaan atau tambahkan pendapatan. Oleh kerana tiada wang, pastinya perbelanjaan pun kurang. Oleh itu, pilihan kedua adalah tambahkan pendapatan.
Lakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mengubah pendapatan anda, sama ada menambah kerja kedua, atau lakukan lebih banyak over-time. Ataupun berbincang dengan majikan untuk menambahkan gaji. Mungkin juga perlu mencari tempat kerja yang lain yang memberi pendapatan lebih lagi mengikut kepakaran anda. Tiada guna berdiam sahaja sekiranya anda fikirkan anda layak menerima gaji yang lebih mengikut kemampuan anda.
Ada juga pilihan untuk memulakan perniagaan. Namun, pastikan perniagaan yang dijalankan tidak menggunakan modal yang besar oleh kerana ia hanya akan mendedahkan anda kepada risiko perniagaan pula. Tetapi, terdapat juga perniagaan-perniagaan yang hanya menggunakan skil diri sendiri seperti perkhidmatan yang tidak menggunakan modal, tetapi kebolehan dan masa anda.
Sekiranya tiada wang, tanggungjawab anda untuk mengubahkan keadaan itu. Tiada siapa yang akan membantu anda. Anda perlu membantu diri sendiri oleh kerana tanggungjawab untuk berubah perlu datang dalam diri sendiri.
No comments:
Post a Comment