Oleh: Irfan Khairi.[9 Julai 2014]
Berkemungkinan, anda yang sedang membaca artikel ini mempunyai akaun Facebook. Setidaknya anda pasti pernah dengar mengenai gergasi media sosial ini. Kini, terdapat lebih 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, yang merangkumi hampir separuh penduduk Malaysia secara keseluruhan. Jumlah ini juga meletakkan Malaysia di tempat ke 8 jumlah pengguna Facebook di Asia. Penggunaan Facebook yang tinggi di Malaysia menjadikannya salah satu platform perniagaan yang tidak boleh diabaikan.
Saya sendiri merupakan pensyarah program Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Pemasaran Media Sosial di Asia eUniversity,dan antara modul yang disampaikan adalah cara menggunakan Facebook dalam menarik pelanggan. Sekiranya anda menjalankan perniagaan, pastikan anda menggunakan Facebook untuk mendapat lebih ramai pelanggan dan menjana pendapatan.
Namun, ramai usahawan menggunakan Facebook dalam mempromosikna perniagaan mereka dengan cara yang salah. Bayangkan sebagai pengguna Facebook, dan sering pengguna Facebook lain meletakkan iklan mereka di Facebook anda. Apakah perasaan anda?
Pastinya anda sendiri tidak selesa dengan perbuatan sebegitu bukan? Tetapi, ini yang terjadi selalu di Facebook. Usahawan sering melakukan promosi membuta tanpa memikirkan impak keatas perniagaan mereka.
Satu perkara penting yang perlu di ingat adalah, mindset pengguna Facebook bukanlah untuk membeli sesuatu. Tidak seperti di laman web e-dagang, pelawat sememangnya mempunyai mindset untuk membeli.
Orang ramai menggunakan Facebook untuk mendapatkan informasi dan berkomunikasi dengan kenalan.Oleh sebab itu, sebagai usahawan yang ingin mempromosikan perniagaan mereka di Facebook, perlu menggunakan strategi berkongsi informasi dan berkomunikasi dengan bakal pelaggan.
Sebagai contoh, sekiranya menjual produk fesyen, gunakan Facebook untuk kongsikan maklumat terkini industry fesyen. Ini akan menambahkan lagi mereka yang gemar dengan fesyen untuk menyertai Facebook anda. Satu lagi contoh, sekiranya anda menjual produk fotografi, gunakan Facebook untuk kongsikan gambar foto yang menarik, teknik dan tips fotografi, ini akan menarik penggemar fotografi untuk menyertai Facebook anda.
Apa yang terjadi adalah, usahawan dapat menarik sasaran pasaran yang paling tepat dengan apa yang dijual. Sebagai tambahan, sasaran ini merupakan prospek-prospek terbaik untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh kerana usahawan dapat berkomunikasi terus dengan mereka.
Kekuatan media sosial adalah dalam bersosial, iaitu berkomunikasi. Sekiranya dilihat zaman dahulu, kita di dalam era pertanian. Selepas era pertanian, bermula era perindustrian. Selepas itu, muncul era informasi. Hari ini, kita di dalam era komunikasi. Era beredar, begitu juga dengan teknik dan strategi perniagaan perlu berubah. Sekiranya sebelum ini, pengiklanan secara menerus melalui media adalah amat efektif, kini, pengiklanan secara tidak langsung menggunakan media komunikasi dan interaktiviti memberi impak yang lebih baik.
Gunakan Facebook untuk membina kesedaran, jenama dan juga interativiti bersama prospek anda. Jualan dan promosi boleh dilakukan kemudian, dan bukan secara membuta dan melulu. Apabila mendapat ramai prospek, ini akan memberi anda lebih banyak jualan dan lebih mudah menjana pendapatan perniagaan anda melalui Facebook.
No comments:
Post a Comment