Thursday, August 14, 2014

Alamak... bajet lari selepas RAYA!

Oleh: Irfan Khairi.[11 Ogos 2014]



Mungkin selepas raya, terasa sakit sedikit akibat bajet telah lari. Artikel kali ini saya ingin kongsikan 4 perkara yang anda boleh lakukan untuk memperkemaskan kembali bajet anda selepas musim perayaan:



1. Mulakan satu kalander perbelanjaan dan bakal perbelanjaan anda. Yang dimaksudkan bukan kalender poket kecil ataupun kalender di smartphone dan telefon bimbit anda, tetapi kalender yang besar sedikit untuk membolehkan anda menulis dan mencatatkan segala perbelanjaan anda. Di Internet juga anda boleh muat turun template-template kalender sebegini di mana terdapat ruang yang cukup untuk catatan perbelanjaan anda untuk setiap hari.



Ia amat penting untuk anda mula menjejak perbelanjaan harian anda serta menulis lebih awal perbelanjaan yang bakal anda perlu keluarkan seperti bayaran bil, rumah, kereta, dan sebagainya untuk bulan-bulan yang akan datang. Bila menulis setiap transaksi yang berlaku dan transaksi yang akan datang pada kalender, anda akan nampak dengan lebih jelas bagaimana anda boleh mengawal kewangan anda untuk  menampung perbelanjaan yang sudah lari bajet pada musim perayaan.



2. Mula kurangkan perbelanjaan harian. Ubah rutin anda sekiranya rutin anda memerlukan perbelanjaan yang boleh dielakkan. Dari pergi keluar menonton wayang bersama keluarga yang memakan kos pengangkutan, makan minum serta bayaran panggung, luangkan masa di rumah di amna anda boleh jimatkan berpuluh hingga beratus ringgit sekali keluar. Sekiranya anda mempunyai keahlian kelab, gym atau apa sahaja yang boleh dihentikan, maka hentikan untuk sementara. Lagipun, sekiranya hendak bersenam, di rumah pun boleh bukan?



Kesan perbelanjaan-perbelanjaan rutin anda yang boleh dikurangkan, dan kurangkannya untuk sementara waktu sehingga kewangan kembali stabil.

 Image
3. Untuk menambahkan kewangan kita, hanya dua cara sahaja. Iaitu, mengurangkan perbelanjaan dan menambahkan pendapatan. Mungkin rezeki bulan Ramadhan ini yang meriah dengan pelbagai perniagaan bermusim membuka mata anda untuk anda sendiri cuba mulakan perniagaan juga.



9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan, mungkin tiba masanya untuk anda menuntut rezeki ini. Terdapat pelbagai perniagaan yang boleh dimulakan, nasihat saya, diperingkat awal cuba lakukan perniagaan yang tidak memakan kos atau mempunyai risiko yang tinggi. Jangan pula waktu kesempitan wang, bertambah pula tekanan kepada anda. Lakukan penyelidikan dan bacaan untuk mendalami perniagaan separuh masa yang anda boleh mulakan seperti perniagaan di Internet . Sekiranya anda merancag memulakan perniagaan Internet daru rumah, klik di sini.



4. Bulan Ramadhan, penuh dengan pelbagai jualan murah, tawaran istemewa, dan sebagainya di pusat membeli belah. Mungkin ini antara sebabnya bajet kita lari. Jangan lupa selepas Hari Raya nanti, jualan sebegini akan terus bersambung juga seperti jualan penghabisan stok, tawaran Aidilfitri dan sebagainya!



Jangan seperti pisang berbuah dua kali. Sudah lah lari bajet, akibat tawaran yang serupa, semakin tenat jadinya kewangan anda.



Musim perayaan sering membuatkan bajet kita lari. Mudahan dengan 4 tip mudah ini dapat menstabilkan bajet anda kembali untuk bulan-bulan yang akan datang kepada mereka yang memerlulan.

No comments: