Tuesday, August 19, 2014

Berapakah nilai RM diri anda sendiri?

Oleh: Irfan Khairi.[23 Mei 2014]

Apakah nilai yang anda letakkan pada diri anda sendiri? Dengan meletakkan nilai pada diri kita sendiri, bukan sahaja kita akan lebih menghargai  masa, tetapi juga memudahkan kita membuat sesuatu keputusan.

Nilai yang saya maksudkan ini adalah nilai dalam bentuk wang- ringgit Malaysia. Sekadar contoh,bayangkan seorang konsultan yang berpendapatan RM300 satu jam apabila mengendalikan pelanggan. Masanya adalah lebih berharga untuk mengendalikan pelanggan berbanding dengan mungkin keluar membeli peralatan pejabat yang boleh diagihkan kepada orang lain.

Seperti contoh di atas, usahawan tersebut dapat meluangkan masa kepada perkara yang lebih penting dan menjimatkan masanya. Dalam waktu yang sama dapat membuat keputusan sama ada perlu bersama pelanggan atau keluar membeli peralatan pejabat mengikut nilai aktiviti tersebut.

Sebagai usahawan, ianya  peting untuk meletakkan nilai pada diri sendiri. Tetapi ia juga tidak bermakna mereka yang bukan usahawan tidak perlu meletakkan nilai pada diri.

Memberi nilai kepada diri kita sendiri akan membuatkan kita lebih menghargai diri, dari segi masa yang diluangkan, kerja yang dihasilkan, juga usaha yang ditaburkan. Bila kita merasakan nilai kita tinggi, maka, pastinya  kita tidak mahu membuang masa. Kerana setiap waktu yang beredar, akan digunakan dengan sebaiknya seperti nilai yang diletakkan.

Bayangkan kita meletakkan nilai kita kini satu jam, bernilai RM1. Pastinya, kita umpama tidak perlu menghagai masa kerana nilai satu jam atau dua jam yang berlalu hanya RM1-RM2. Tetapi bayangkan sekiranya nilai kita satu jam adalah RM100 untuk satu jam. Apa yang akan dirasa adalah, setiap jam tersebut  adalah amat berharga kerana nilai kita tinggi. Bagaimana perasaan sekiranya 2 jam berlalu pada tahap nilai kita RM100 sejam? Pastinya kita akan rugi RM200! Besar tu.

Keadaan yang sama juga untuk menjelaskan konsep ini, pada hasil kerja dan usaha. Sekiranya kita meletakkan nilai wang pada hasil kerja dan usaha kita rendah, pastinya ia tidak dihargai dan mungkin kualiti kerja dan usaha juga adalah rendah.

Tetapi bayangkan anda seperti seorang doktor pakar bedah di mana nilai anda adalah amat tinggi. Pastinya setiap pembedahan yang anda lakukan adalah dengan amat teliti dan berkualiti- setaraf dengan nilai sendiri.

Berita baiknya adalah, anda tidak perlu menjadi pakar bedah, untuk mempunyai nilai yang tinggi. Oleh kerana, nilai anda, anda yang tetapkan dalam diri anda sendiri. Ianya bukan berdasarkan gaji anda ataupun keuntungan perniagaan anda. Nilai, anda anda yang tetapkan 100% oleh  kerana tujuannya adalah untuk menjadikan anda sendiri lebih produktif apabila meletakkan nilai wang pada waktu anda.

Manusia mempunyai otak yang amat hebat berbandingkan dengan komputer yang paling hebat di dunia. Tubuh badan kita juga adalah jauh lebih  maju dari apa sahaja robot yang pernah dicipta. Deria kita adalah amat canggih berbanding dengan apa sahaja ciptaan manusia yang lain. Di sini sahaja, nilai kita adalah terlalu besar untuk diletakkan.

Sekiranya kita yakin bahawa nilai kita adalah jauh lebih tinggi dari apa yang kita rasakan kini, ini akan meningkatkan lagi keyakinan diri kita dan membuatkan kita lebih menghargai diri, masa dan hasil kerja.
Soalannya, berapakah nilai RM yang anda letakkan pada diri anda sendiri? Lakukan aksi harian anda berdasarkan nilai tersebut. 

Monday, August 18, 2014

Lindungi Duit Anda!

Oleh: Irfan Khairi.[5 Jun 2014]

Pastinya anda pernah dengar ataupun mungkin pernah alami keadaan ini, apabila pendapatan bertambah, perbelanjaan juga bertambah. Mana tidaknya, kita akan rasakan desakan untuk membelanja lebih banyak lagi apabila pendapatan turut meningkat. Mungkin pada rumah yang lebih besar dan selesa, kereta yang lebih mewah dan laju, handphone yang lebih canggih dan terkini dan sebagainya.

Adakalanya juga tambahan wang yang kita perolehi membawa kita kurang berhati-hati dalam perihal kewangan seperti membuat keputusan kewangan tanpa pertimbangan yang wajar oleh kerana alasannya, "tidak mengapa, ada lebihan wang". Begitu juga adakalanya lebihan wang yang kita perolehi membuatkan kita sasaran sebagai tempat bantuan kewangan dari keluarga, kenalan dan juga mereka yang tidak dikenali.

Untuk menjadi bebas kewangan, sebagai permulaan anda perlu lindungi wang anda daripada diri anda sendiri, dari orang lain dan juga dari sebarang kecemasan.

Lindungi wang dari diri anda sendiri

Wang anda, tanggungjawab anda. Penghalang  utama dalam mencapai kebebasan kewangan adalah diri kita sendiri. Bila ada lebihan wang, terasa desakan untuk lebihkan perbelanjaan. Sesuatu yang amat biasa terjadi  oleh kerana kita merasakan perlunya mengupah diri sendiri atas setiap tambahan kewangan yang kita perolehi. Tiada salahnya melakukan ini, malah ia juga merupakan satu motivasi untuk kita menjadi lebih berjaya dalam usaha bila melihat hasil daripada penat usaha kita menjana pendapatan.

Apa yang penting adalah keseimbangan. Lindungi wang kita dengan mengimbangkan pendapatan dan juga perbelanjaan. Ramai yang gagal melindungi wang apabila lebihan wang yang diperolehi digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan diri sendiri untuk kepuasan. 

Lindungi wang dari orang lain

Sememangnya menjadi orang yang baik hati dan banyak membatu adalah sesuatu yang bagus. Bila ada lebihan wang, pastinya kita suka membantu, atau diminta membantu, kenalan dan keluarga yang memerlukan. Ada yang minta pinjam, ada yang minta di belanja. 

Sekali lagi, keseimbangan diperlukan. Mungkin pengalaman anda berbeza dengan pengalaman saya, kerana wang yang dipinjam jarang sekali dapat kembali. Ianya semakin sukar juga apabila yang meminta pinjam atau belanja dari keluarga sendiri dan keadaan kewangan lebihan juga sukar untuk menampung.

Dalam soal kewangan peribadi, perlu sentiasa utamakan diri sendri. Bunyi agak mementingkan diri sendiri, tetapi perlu difikir juga soal diri, anak-anak, suami atau isteri. Sekiranya mempunyai wang lebihan yang boleh diberi tanpa mengganggu kewangan diri, tidak mengapa. Tetapi sekiranya wang lebihan diberi kesemuanya sehingga diri dan keluarga sendiri terjejas, maka ia adalah masa untuk lindungi wang anda dari orang lain.

Lindungi wang untuk kecemasan

Siapa akan membantu anda sekiranya terdapat sebarang kecemasan yang memerlukan wang? Sekiranya sedia dilahirkan dalam keluarga berada yang mempunyai ibu, ayah atau ahli keluarga yang kaya raya yang sedia membantu apa sahaja, mungkin ada tempat mengadu dalam membantu kewangan. Tetapi tidak ramai begitu.

Anda perlu lindungi wang untuk kecemasan seperti hilang punca pendapatan tiba-tiba, perbelanjaan kecemasan yang tidak diduga, dan apa sahaja kecemasan yang diri sendiri tidak terfikir akan terjadi.

Kewangan adalah tanggung jawab sendiri oleh itu, tanggungjawab diri juga melindungi wang untuk sebarang kecemasan. Jangan pula sehingga diri kita pula yang menjadi mangsa meminjam wang sana sini akibat kecuaian kewangan diri- oleh kerana orang lain juga perlu melindungi wang mereka!

Dengan melindungi duit kita sendiri, bukan sahaja kita akan sentiasa berada dalam keadaan kewangan yang sihat, malah ia juga akan memberi satu keyakinan kewangan pada diri kita sendiri. Ini kerana kita akan merasakan duit kita yang dilindugi adalah dalam kawalan dan tanggungjawab diri kita sendiri- dan ini amat penting dalam mencapai kebebasan kewangan.

Masalah Tiada WANG!

Oleh: Irfan Khairi.[2 Julai 2014]

Sememangnya keadaan yang amat menekankan sekiranya dalam keadaan tiada wang, tambahan lagi sekiranya tanggungjawab adalah besar mungkin membayar rumah, kereta dan makan minum keluarga. Ketika bujang dulu, kalau tiada duit, mungkin boleh mengikat perut tetapi bagi yang berkeluarga, agak berat apabila ahli keluarga yang lain pula terpaksa memikul bebannya.

Berbagai-bagai alasan akibat tiada wang. Mungkin gaji kita rendah, ataupun bisnes yang dijalankan kurang mendapat sambutan. Ada juga alasan harga barangan semakin meningkat dan kos sara hidup juga turut meningkat. Ataupun sesuatu yang tidak diingin berlaku yang menyebabkan kurangnya wang di poket atau bank seperti ahli keluarga jatuh sakit ataupun berlakunya kemalangan.

Tidak kira apa sahaja alasan yang menyebabkan tiada wang, tanggungjawab tetap pada diri sendiri untuk keluar dari keadaan itu. Dengan hanya memberi fokus pada alasan dan masalah yang dihadapi, pastinya lebih banyak lagi bebanan dan tekanan yang akan dialami. Sementara hati dan minda gusar memikirkan masalah hendak membayar bil, tiba-tiba kereta pula buat hal dan perlu hantar ke bengkel - bertambah masalah!

Sememangnya tiada siapa yang mahu terjerumus dalam keadaan ini. Tetapi, sekiranya ia terjadi, langkah pertama adalah untuk mengakui keadaan ini. Tiada guna untuk memejamkan mata dan cuba mengabaikan sindrom tiada wang oleh kerana pastinya makin lama makin teruk. Sekiranya kini sudah teruk, bulan hadapan atau tahun hadapan pastinya lagi berganda-ganda teruk jika tidak diambil langkah. Mengakui ianya terjadi adalah langkah pertama untuk menerima hakikat bahawa masalah itu wujud.

Langkah kedua adalah untuk menyalahkan seseorang. Pastinya apabila dalam keadaa tiada wang, terdapat pihak yang bersalah. Adakah hendak menyalahkan majikan kerana memberi gaji ciput? Menyalahkan kedai-kedai kerana menaikkan harga barang? Atau menyalahkan ahli keluarga kerana jatuh sakit?
Image
Pastinya tidak. Seseorang yang perlu disalahkan adalah diri sendiri. 

Selagi kita tidak melihat kesilapan kita dalam menguruskan kewangan, selagi itu kita tidak akan berjaya memperbaiki keadaan kewangan diri dan keluarga. Mungkin sesuatu terjadi adalah di luar kawalan anda yang mengakibatkan anda dalam masalah kewangan. Tidak kira apa pun, letak diri sendiri sebagai puncanya oleh kerana tiba masanya untuk anda perbaiki diri sendiri. Kalau tidak melihat kesilapan, pastinya kita tidak akan perbaiki diri.

Langkah seterusnya, adalah untuk lihat kembali perjalanan hidup anda. Apakah yang menyebabkan anda terjatuh dalam keadaan tiada wang? Inilah waktunya untuk muhasabah diri sendiri. Sama ada mungkin dulu anda tidak menguruskan wang dengan cekap, atau anda sering membazirkan wang. Mungkin juga anda tidak membazirkan wang, tetapi ahli keluarga yang lain tidak mempunyai matlamat yang sama dengan anda dan membelanjakan wang dengan boros. Sering juga saya dengar masalah terlalu percayakan kawan dengan wang, tetapi kepercayaan tersebut disiakan dan kawan hilang, wang pun hilang. Ada juga keadaan di mana kita hidup diluar kemampuan pendapatan diri yang membuatkan masalah kewangan.
Apabila telah dikenalpasti di mana kesilapan diri, tiba masanya untuk berjanji untuk tidak mengulangi benda yang sama. 

Langkah terakhir adalah untuk anda ubahkan hidup anda. Sekiranya melakukan perkara yang sama sahaja, pastinya keputusan juga sama. Maksudnya di sini adalah, sekiranya tiada duit, sememangnya perlu ubah gaya hidup anda. 
Untuk bejaya dalam kewangan, hanya ada dua perkara sahaja yang perlu dilakukan. Sama ada kurangkan perbelanjaan atau tambahkan pendapatan. Oleh kerana tiada wang, pastinya perbelanjaan pun kurang. Oleh itu, pilihan kedua adalah tambahkan pendapatan.

Lakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mengubah pendapatan anda, sama ada menambah kerja kedua, atau lakukan lebih banyak over-time. Ataupun berbincang dengan majikan untuk menambahkan gaji. Mungkin juga perlu mencari tempat kerja yang lain yang memberi pendapatan lebih lagi mengikut kepakaran anda. Tiada guna berdiam sahaja sekiranya anda fikirkan anda layak menerima gaji yang lebih mengikut kemampuan anda.

Ada juga pilihan untuk memulakan perniagaan. Namun, pastikan perniagaan yang dijalankan tidak menggunakan modal yang besar oleh kerana ia hanya akan mendedahkan anda kepada risiko perniagaan pula. Tetapi, terdapat juga perniagaan-perniagaan yang hanya menggunakan skil diri sendiri seperti perkhidmatan yang tidak menggunakan modal, tetapi kebolehan dan masa anda.

Sekiranya tiada wang, tanggungjawab anda untuk mengubahkan keadaan itu. Tiada siapa yang akan membantu anda. Anda perlu membantu diri sendiri oleh kerana tanggungjawab untuk berubah perlu datang dalam diri sendiri.

Sunday, August 17, 2014

Masalah Tiada WANG!

Oleh: Irfan Khairi.[9 Julai 2014]

Berkemungkinan, anda yang sedang membaca artikel ini mempunyai akaun Facebook. Setidaknya anda pasti pernah dengar mengenai gergasi media sosial ini. Kini, terdapat lebih 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, yang merangkumi hampir separuh penduduk Malaysia secara keseluruhan. Jumlah ini juga meletakkan Malaysia di tempat ke 8 jumlah pengguna Facebook di Asia. Penggunaan Facebook yang tinggi di Malaysia menjadikannya salah satu platform perniagaan yang tidak boleh diabaikan.

Saya sendiri merupakan pensyarah program Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Pemasaran Media Sosial di Asia eUniversity,dan antara modul yang disampaikan adalah cara menggunakan Facebook dalam menarik pelanggan. Sekiranya anda menjalankan perniagaan, pastikan anda menggunakan Facebook untuk mendapat lebih ramai pelanggan dan menjana pendapatan.

Namun, ramai usahawan menggunakan Facebook dalam mempromosikna perniagaan mereka dengan cara yang salah. Bayangkan sebagai pengguna Facebook, dan sering pengguna Facebook lain meletakkan iklan mereka di Facebook anda. Apakah perasaan anda?

Pastinya anda sendiri tidak selesa dengan perbuatan sebegitu bukan? Tetapi, ini yang terjadi selalu di Facebook. Usahawan sering melakukan promosi membuta tanpa memikirkan impak keatas perniagaan mereka.
Image
Satu perkara penting yang perlu di ingat adalah, mindset pengguna Facebook bukanlah untuk membeli sesuatu. Tidak seperti di laman web e-dagang, pelawat sememangnya mempunyai mindset untuk membeli.

Orang ramai menggunakan Facebook untuk mendapatkan informasi dan berkomunikasi dengan kenalan.Oleh sebab itu, sebagai usahawan yang ingin mempromosikan perniagaan mereka di Facebook, perlu menggunakan strategi berkongsi informasi dan berkomunikasi dengan bakal pelaggan.

Sebagai contoh, sekiranya menjual produk fesyen, gunakan Facebook untuk kongsikan maklumat terkini industry fesyen. Ini akan menambahkan lagi mereka yang gemar dengan fesyen untuk menyertai Facebook anda. Satu lagi contoh, sekiranya anda menjual produk fotografi, gunakan Facebook untuk kongsikan gambar foto yang menarik, teknik dan tips fotografi, ini akan menarik penggemar fotografi untuk menyertai Facebook anda.

Apa yang terjadi adalah, usahawan dapat menarik sasaran pasaran yang paling tepat dengan apa yang dijual. Sebagai tambahan, sasaran ini merupakan prospek-prospek terbaik untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh kerana usahawan dapat berkomunikasi terus dengan mereka.

Kekuatan media sosial adalah dalam bersosial, iaitu berkomunikasi. Sekiranya dilihat zaman dahulu, kita di dalam era pertanian. Selepas era pertanian, bermula era perindustrian. Selepas itu, muncul era informasi. Hari ini, kita di dalam era komunikasi. Era beredar, begitu juga dengan teknik dan strategi perniagaan perlu berubah. Sekiranya sebelum ini, pengiklanan secara menerus melalui media adalah amat efektif, kini, pengiklanan secara tidak langsung menggunakan media komunikasi dan interaktiviti memberi impak yang lebih baik. 

Gunakan Facebook untuk membina kesedaran, jenama dan juga interativiti bersama prospek anda. Jualan dan promosi boleh dilakukan kemudian, dan bukan  secara membuta dan melulu. Apabila mendapat ramai prospek, ini akan memberi anda lebih banyak jualan dan lebih mudah menjana pendapatan perniagaan anda melalui Facebook.

Thursday, August 14, 2014

Alamak... bajet lari selepas RAYA!

Oleh: Irfan Khairi.[11 Ogos 2014]



Mungkin selepas raya, terasa sakit sedikit akibat bajet telah lari. Artikel kali ini saya ingin kongsikan 4 perkara yang anda boleh lakukan untuk memperkemaskan kembali bajet anda selepas musim perayaan:



1. Mulakan satu kalander perbelanjaan dan bakal perbelanjaan anda. Yang dimaksudkan bukan kalender poket kecil ataupun kalender di smartphone dan telefon bimbit anda, tetapi kalender yang besar sedikit untuk membolehkan anda menulis dan mencatatkan segala perbelanjaan anda. Di Internet juga anda boleh muat turun template-template kalender sebegini di mana terdapat ruang yang cukup untuk catatan perbelanjaan anda untuk setiap hari.



Ia amat penting untuk anda mula menjejak perbelanjaan harian anda serta menulis lebih awal perbelanjaan yang bakal anda perlu keluarkan seperti bayaran bil, rumah, kereta, dan sebagainya untuk bulan-bulan yang akan datang. Bila menulis setiap transaksi yang berlaku dan transaksi yang akan datang pada kalender, anda akan nampak dengan lebih jelas bagaimana anda boleh mengawal kewangan anda untuk  menampung perbelanjaan yang sudah lari bajet pada musim perayaan.



2. Mula kurangkan perbelanjaan harian. Ubah rutin anda sekiranya rutin anda memerlukan perbelanjaan yang boleh dielakkan. Dari pergi keluar menonton wayang bersama keluarga yang memakan kos pengangkutan, makan minum serta bayaran panggung, luangkan masa di rumah di amna anda boleh jimatkan berpuluh hingga beratus ringgit sekali keluar. Sekiranya anda mempunyai keahlian kelab, gym atau apa sahaja yang boleh dihentikan, maka hentikan untuk sementara. Lagipun, sekiranya hendak bersenam, di rumah pun boleh bukan?



Kesan perbelanjaan-perbelanjaan rutin anda yang boleh dikurangkan, dan kurangkannya untuk sementara waktu sehingga kewangan kembali stabil.

 Image
3. Untuk menambahkan kewangan kita, hanya dua cara sahaja. Iaitu, mengurangkan perbelanjaan dan menambahkan pendapatan. Mungkin rezeki bulan Ramadhan ini yang meriah dengan pelbagai perniagaan bermusim membuka mata anda untuk anda sendiri cuba mulakan perniagaan juga.



9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan, mungkin tiba masanya untuk anda menuntut rezeki ini. Terdapat pelbagai perniagaan yang boleh dimulakan, nasihat saya, diperingkat awal cuba lakukan perniagaan yang tidak memakan kos atau mempunyai risiko yang tinggi. Jangan pula waktu kesempitan wang, bertambah pula tekanan kepada anda. Lakukan penyelidikan dan bacaan untuk mendalami perniagaan separuh masa yang anda boleh mulakan seperti perniagaan di Internet . Sekiranya anda merancag memulakan perniagaan Internet daru rumah, klik di sini.



4. Bulan Ramadhan, penuh dengan pelbagai jualan murah, tawaran istemewa, dan sebagainya di pusat membeli belah. Mungkin ini antara sebabnya bajet kita lari. Jangan lupa selepas Hari Raya nanti, jualan sebegini akan terus bersambung juga seperti jualan penghabisan stok, tawaran Aidilfitri dan sebagainya!



Jangan seperti pisang berbuah dua kali. Sudah lah lari bajet, akibat tawaran yang serupa, semakin tenat jadinya kewangan anda.



Musim perayaan sering membuatkan bajet kita lari. Mudahan dengan 4 tip mudah ini dapat menstabilkan bajet anda kembali untuk bulan-bulan yang akan datang kepada mereka yang memerlulan.