Monday, April 23, 2012

ARTIKEL: 5 Strategi Menawani Pasaran Perniagaan Anda


Oleh: Irfan Khairi [16 Mac 2009]

Apabila memulakan perniagaan, terdapat beberapa sudut
anda boleh mendekati perniagaan anda untuk menawan pasaran dan
pelanggan anda. Perniagaan datangnya dengan persaingan. Dalam
menangani persaingan, berikut adalah strategi menawani pasaran dan
pelanggan anda!

1: Tawani melalui kualiti yang tinggi
Kita sedia ketahui bahawa kualiti produk dan perkhidmatan akan
menentukan kejayaan sesuatu perniagaan. Produk dan perkhidmatan
berkualiti rendah sudah tentu akan mendapat masalah apabila
pelanggan merasakan mereka tertipu dengan belian mereka. Bukan
setakat itu sahaja, berita perniagaan anda menjual produk
berkualiti rendah juga akan mudah tersebar oleh pelanggan-pelanggan
yang tidak berpuas hati.

Tawani pelanggan anda dengan produk yang berkualiti. Ia akan
memberi keuntungan buat jangka masa yang panjang sekiranya kualiti
produk dan perkhidmatan anda senantiasa diperbaiki.

2: Tawani melalui perkhidmatan yang lebih baik
Zaman kini, permintaan perkhidmatan menginginikan segala-galanya
dilakukan dengan sempurna dan cepat. Percepatkan perkhidmatan
perniagaan anda. Sekiranya bakal pelanggan menghubungi anda, layani
dengan cepat dan sempurna. Sekiranya pelanggan membawa barangan
rosak ke kedai anda, perbaiki dengan cepat dan sempurna. Sekiranya
pesaing anda memberi perkhidmatan penghantaran dalam masa 2 hari,
anda cuba lakukan penghantaran dalam masa 1 hari.

Permintaan kini menekankan kelajuan dan jangka masa sebagai salah
satu faktor utama dalam memilih perniagaan. Memang tidak hairan
restoran-restoran "fast-food" mendapat permintaan yang tinggi!

3: Tawani melalui harga yang lebih rendah
Dalam pasaran yang kompetitif, harga memainkan peranan yang penting
dalam pemilihan perniagaan. Ramai pengguna kini adalah pengguna
yang bijak dan akan membandingkan harga sebelum membuat belian.

Tawan pengguna dengan memberi produk dan perkhidmatan anda pada
harga yang munasabah dan bersesuaian dengan kualiti produk anda.
Terdapat banyak perniagaan menggunakan model harga rendah dalam
memenangi hati pelanggan dari gerai mamak sehingga ke Air Asia.

4: Tawani melalui memberi lebih daripada apa yang disangkakan
Memberi apa yang disangkakan oleh pelanggan anda akan menunaikan
permintaan mereka. Tetapi, memberi lebih daripada apa yang disangka
akan menggembirakan mereka!

Beri lebih daripada apa yang disangkakan kepada pelanggan-pelanggan
anda, dan pulangannya adalah pasaran yang lebih luas. Ini kerana,
pelanggan yang gembira akan berkongsikan pengalaman mereka dengan
kenalan-kenalan mereka.

Buah mulut yang baik berkenaan perniagaan anda akan menawan pasaran
pelanggan yang setia dan meluas.

5: Tawani melalui menjadi ketua pasaran
Menjadi ketua pasaran anda memberi pelbagai kesan baik kepada
perniagaan. Pertama sekali, jenama ketua pasaran sering dikenali
berbanding dengan persaingan. Menjadi ketua pasaran adalah dengan
menjadi perniagaan yang pertama sekali memasuki sesuatu industri.

Sebagai contoh, Maggie merupakan ketua pasaran mee segera oleh
kerana menjadi jenama yang pertama sekali memasuki pasaran
tersebut. Sehingga kini, jenama Maggie mendahului jualan segala mee
segera.

Sekiranya anda ingin menggunakan strategi ini, ciptakan satu
kelainan dalam perniagaan anda. Kelainan tersebut akan menjadikan
anda unik dan berbeza dengan pesaing sedia ada. Ini membuka peluang
perniagaan anda kepada pasaran yang baru dan menjadi ketua pasaran
tersebut.

Strategi yang sukar, tetapi dengan impelemntasi yang betul, akan
dapat menawani pasaran yang besar. Perkara ini juga boleh
diaplikasikan untuk perniagaan Internet.

No comments: