[7 April 2009]
Keratan majalah Islamik, I terbitan Karangkraf:
Sejak terdedahnya kisah tokoh usahawan internet, Irfan Khairi yang
berjaya memperoleh pendapatan RM 1 juta hasil perniagaan
internetnya, rakyat Malaysia mula membuka mata. Terutamanya
golongan muda yang bersemangat tinggi, mereka tidak kisah
mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku panduan dan cakera padat
yang menjelaskan langkah-langkah untuk memulakan perniagaan
internet. Bagi yang lebih berkemampuan atau yang benar-benar serius
mahu membuka perniagaan internet sendiri, mereka mula menghadiri
kursus-kursus berkaitan yang yurannya hampir mencecah empat angka,
kerana yakin nilai pulangan yang jauh lebih tinggi daripada itu.
Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan Khairi , penulis buku Rahsia
Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, buku bahasa Melayu yang
pertama yang menceritakan tentang potensi perniagaan internet,
sekaligus membongkar rahsia-rahsia perniagaan internet. Sejak
munculnya buku tersebut di pasaran pada tahun lepas, perniagaan
internet di Negara ini mula menampakkan perkembangan rancak,
meskipun di Barat industri ini sudah berkembang hebat sejak sepuluh
tahun yang lalu.
"Industri ini masih baru di Negara ini. Cuma sejak kebelakangan ini
ia sudah mula mendapat sambutan dan kepercayaan orang ramai. Saya
harap dengan kehadiran saya dalam industri internet sejak tahun
lepas sedikit sebanyak membuka lebih banyak mata terutama di
kalangan masyarakat bumiputera tentang peluang perniagaan melalui
internet ini," ujar Irfan Khairi yang ditemu bual baru-baru ini.
FENOMENA BARU
Fenomena ini jelas dapat dilihat apabila buku tersebut menjadi
Best-Seller di kedai-kedai buku terkenal seperti di MPH dan
Kinokuniya. Cakera padat bertajuk Manual Langkah 1-2-3 Membina
Laman Web Perniagaan Internet turut mendapat sambutan di samping
Workshop Jutawan Internet yang dikendalikan sendiri oleh Irfan
Khairi. Itu belum lagi diceritakan tentang produk-produk
seumpamanya yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan internet lain.
Bumiputera yang memiliki tahap ekonomi yang masih rendah tidak
harus melepaskan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja.
Peluang ini harus direbut sebaik mungkin kerana ia sedang terbuka
luas dan masih banyak ruang yang belum diteroka, memandangkan
Malaysia masih lagi berada di tahap awal dalam penerimaan
perniagaan melalui internet.
"Masih terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi oleh
kaum bumiputera di arena internet. Sebagai contoh, ketika saya
bersiar-siar di kedai buku agama, terlalu banyak buku agama yang
ada di pasaran tetapi tidak ada dijual di pasaran internet. Di situ
saja satu idea memulakan perniagaan internet - menjualbuku-buku
agama - boleh dilakukan," kata Irfan.
POTENSI MASA DEPAN
Tambah Irfan, potensi perniagaan internet pada masa hadapan akan
menjadi semakin luas. Seperti televisyen, radio, surat khabar, dan
majalah yang merupakan media yang tidak luntur dek masa, demikian
juga dengan internet.
"Pada masa ini pengguna internet di Malaysia mencecah 10 juta
orang. Pada tahun lepas, jumlahnya adalah sembilan juta orang,
bererti kenaikan sebanyak 1 juta pengguna setahun. Tetapi kita
harus ingat, kenaikan itu tidak berlaku secara linear.
Tahun hadapan bukan bermakna lagi satu juta pengguna internet, tapi
mungkin 1.5 juta atau 2 juta. Saya yakin, pengguna internet dan
penerimaan internet akan terus berkembang di Malaysia seiring
dengan usaha kerajaan yang turut menekankan kepentingan industri
ICT di Negara ini."
Mungkin ramai yang teruja membaca kisah Irfan Khairi, tetapi masih
tidak tahu untuk bertindak. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh
memulakan perniagaan internet sekiranya ada minat untuk
melakukannya. Ini kerana perniagaan internet tidak memerlukan modal
yang tinggi, kerana ia boleh dimulakan dengan modal serendah RM500
sahaja. Ia juga tidak memerlukan pengetahuan teknologi maklumat
yang tinggi kerana hari ini terdapat banyak buku-buku panduan
mengenainya serta perisian-perisian yang membolehkan seseorang itu
membina laman web nya sendiri.
"Sebenarnya untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu
tidak perlu ilmu yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat.
Sudah memadai bagi seseorang yang tahu menggunakan internet -
samada untuk melayari laman-laman web, menggunakan emel atau
membuat penyelidikan.
Sekiranya tahu menggunakan perisian mudah seperti Microsoft Word,
maka, sudah cukup untuk memulakan perniagaan internet. Asalkan
mereka sanggup belajar dan ambil langkah demi langkah," kata Irfan.
Irfan menjelaskan adalah amat rugi bagi seseorang usahawan yang
sudah memiliki perniagaan sendiri tidak mahu merebut peluang ini.
Ini kerana, menjual produk di kedai konvensional hanya dapat
menerima kunjungan orang-orang yang berada di persekitaran kedai
itu. Tetapi dengan cara mengembangkan perniagaan itu di internet,
usahawan tersebut boleh mencapai pengguna internet satu Malaysia
yang jumlahnya melebihi 10 juta orang.
Bahkan, mereka boleh pergi lebih jauh dengan menjual produk mereka
ke seluruh dunia dengan jumlah pengguna internet kini melebihi 1
billion orang.
Internet memiliki banyak kelebihan berbanding perniagaan
konvensional kerana ia tidak dibatasi oleh sempadan geografi,
bangsa dan agama.
Kerana itu, sesiapa sahaja boleh berjaya di internet jika rajin
berusaha, pandai membaca peluang dan yakin kepada diri sendiri.
PENYELESAI MASALAH
Perniagaan internet adalah penyelesai kepada banyak masalah. Ia
boleh menyelesaikan masalah mereka yang menghadapi kesesakan lalu
lintas, kepada ibu-ibu yang mahu menjaga sendiri anak-anak serta
kepada mereka yang masih menganggur.
"Hari ini ramai orang yang menghadapi masalah dengan pekerjaan
mereka, termasuk juga mereka yang tidak ada kerja. Mereka ini harus
memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba perniagaan
melalui internet ini. Ia boleh dijalankan di rumah dengan kos yang
sungguh minimum.
"Bagi graduan menganggur pula, mereka patut merebut peluang ini dan
tidak menunggu pekerjaan makan gaji. Bahkan saya sarankan bukan
sahaja kepada graduan menganggur, tetapi sesiapa juga sebagai satu
cara mendapatkan pendapatan sampingan dan memantapkan ekonomi" kata
Irfan lagi.