Monday, January 30, 2012

MASA DALAM PERNIAGAAN


Dalam menjalankan perniagaan, perancangan masa adalah elemen yang
amat penting. Dengan pengurusan masa yang bijak, usahawan dapat
melakukan lebih banyak perkara dalam waktu yang diberikan. Ianya
dikatakan setiap manusia mempunyai 24 jam yang sama dalam masa
sehari. Ianya bergantung kepada kita bagaimana kita menguruskan
waktu 24 jam kita yang membezakan kejayaan seseorang.

Berikut adalah 3 kunci merancang masa:

Kunci #1: Rancang hari anda pada malam sebelumnya
=================================================

Dalam pengurusan masa, lebih banyak anda merancang, lebih banyak
masa dapat dijimatkan. Rancang keesokan hari anda pada hari
sebelumnya. Sebelum masuk tidur, ambil sekeping kertas dan tuliskan
segala aktiviti yang anda perlu lakukan untuk esok hari.
Perancangan sebegini akan memudahkan kerja yang dilakukan keesokan
hari.

Ianya dikatakan bahawa, 10% daripada masa anda ambil untuk
merancang masa, anda akan menjimat 90% daripada masa anda dalam
menyelesaikan sesuatu pekerjaan.

Seringkali juga digalakkan merancang pada malam sebelumnya oleh
kerana ketika tidur, minda anda umpama bersedia untuk menangani hari
yang baru yang penuh dengan perancangan. Kerja akan lebih sempurna
dan tersusun dengan merancang pada hari sebelumnya.

Kunci #2: Senarai mengikut kepentingan
======================================

Salah satu cara yang sering disarankan dalam mengurus masa adalah
menyenaraikan apa yang anda perlu lakukan.

Langkah seteruisnya adalah, pada senarai tersebut, tandakan A, B, C
dan D disebelah segala aktiviti anda mengikut kepentingan. Tandakan
A pada perkara yang penting untuk anda lakukan. B pada perkara yang
kurang penting, tetapi, masih perlu di lakukan. C pada perkara yang
kurang penting, dan D pada perkara yang tidak penting langsung.

Sering kali apabila anda menyiapkan senarai mengikut kepentingan
ini, anda akan dapat lihat di manakan keutamaan anda perlu tumpukan
terlebih dahulu. Aktiviti yang di tandakan D boleh di pangkah
daripada senarai anda oleh kerana ianya tidak penting. Mungkin
sekiranya anda mempunyai masa, anda boleh lakukannya seperti
menonton TV atau bermain computer game.

Aktiviti yang ditandakan C mungkin boleh diagihkan kepada orang
lain. Ataupun, mungkin boleh dilakukan sekali gus dengan aktiviti B.

Manakala, aktiviti A pula adalah keutamaan anda di mana anda perlu
memberi tumpuan pada awal hari anda. Lakukan aktiviti-aktiviti anda
mengikut senarai kepentingan. Daripada A, sehingga C. Sekiranya ada
masa, dan pastinya dengan mengamalkan pengurusan masa di dalam
audio ini, anda akan mendapat banyak masa terluang untuk melakukan
perkara D!

Rancangkan hari anda. Hari yang tidak dirancang adalah hari yang
anda merancang untuk gagal dalam menguruskan masa!

Kunci #3: Prinsip 80-20
=======================

Prinsip yang dihasilkan oleh Vilfredo Pareto mengatakan bahawa 20%
daripada masa yang di ambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan adalah
untuk 80% hasil daripada tugas tersebut. Dalam erti kata lain,
produktiviti anda akan menurun selepas 20% masa anda diambil!

Oleh itu, bagaimana caranya menggunakan prinsip ini untuk manfaat
anda?

Mudah sahaja. Apabila anda ingin melakukan sesuatu tugas,
bentangkan tugasan tersebut di hadapan anda dan fikirkan strategi
bagaimana anda perlu menangani tugas tersebut. Apabila anda sudah
bersiap sedia dengan apa yang anda perlukan, terus mulakan tugasan
tersebut. Jangan berhenti, dan teruskan sahaja sehingga anda data
menyiapkan apa yang anda termampu. Mungkin ianya mengambil 1 jam...
atau 2 jam. Apa sahaja yang anda mampu lakukan, lakukannya.

Kemudian, berhenti! Ya... berhenti dari melakukan tugasan tersebut.
Ini kerana, anda telah mengambil 20% daripada masa anda yang
benar-benar produktif dalam menyiapkan kerja tersebut. Namun, kerja
tersebut sudah 80% siap!

Apa yang anda perlu laku kini adalah, alihkan perhatian anda kepada
kerja atau tugas yang lain. Mulakan tugas baru dan tidak perlu
hiraukan tugasan tadi. Untuk tugasan baru juga, lakukan yang sama
iaitu, beri tumpuan yang khusus 20% daripada masa yang perlu
diambil, kemudian berhenti. Lakukan perkara yang sama pada tugasan
yang lain.

Dengan melakukan prinsip pareto ini, anda dapat menyiapkan 80%
daripada kerja di tangan dalam 20% masa anda sahaja. Selepas
kesemua 80% tugas anda selesai, anda boleh kembali kepada tugasan
asal untuk menyiapkan 20% sehingga selesai. Kini, keadaan anda
sudah segar daripada tugasan asal, dan produktiviti meningkat semula.


Gabungkan ketiga-tiga kunci merancang masa ini dan anda pasti
teruja dengan kecekapan anda menangani masa dalam menjalankan
perniagaan ada!

-Irfan Khairi-
Untuk lagi tip perniagaan, kewangan & kejayaan, lawati
http://www.irfankhairi.com

Sunday, January 29, 2012

5 Kunci Usahawan Berjaya


MERANCANG DAN DAPATKAN HASIL

Tidak kira di mana sahaja di dunia, kebolehan merancang dan
mendapatkan hasil adalah tugasan yang paling berharga sekali. Tidak
kira dalam bidang politik, keluarga atau individu, merancang akan
dapat membuahkan hasil yang lebih teratur dan baik.

Begitu juga dalam perniagaan. Untuk menjadi usawahan yang berjaya,
kebolehan merancang dan mendapatkan keputusan adalah amat penting.
Sebelum memulakan apa sahaja perniagaan, satu perancangan yang
lengkap perlu diadakan (jangan nak main terjun sahaja!). Apabila
perniagaan sudah dimulakan, perancangan masih diperlukan dalam
menganalisa strategi pemasaran untuk mengembangkan perniagaan anda.
Apabila perniagaan anda sudah maju, perancangan masih diperlukan
untuk memastikan perniagaan anda mendapat pasaran terbesar dan
tidak diambil oleh pesaing anda!

Dalam setiap peringkat perniagaan, perancangan dimestikan dan tidak
pernah ditinggalkan oleh usahawan yang berjaya. Usahawan yang
berjaya akan sering Tanya pada diri sendiri:

- Apakah keputusan yang diinginkan dalam perniagaan ini?
- Bagaimana keputusan itu dapat dicapai?
- Siapa yang dapat membantu mengembangkan perniagaan ini?
- Apakah kebolehan atau ilmu tambahan yang saya perlukan untuk
mengembankan perniagaan ini?

Kebolehan anda untuk mendapatkan hasil dan bertanggungjawab atas
keputusan anda adalah tanda seorang usahawan yang gemilang.

BERI LEBIH DARIPADA APA YANG DISANGKAKAN

Kunci kejayaan sesuatu perniagaan adalah untuk melakukan lebih
daripada apa yang disangkakan. Bak kata mat salleh, "Go the extra
mile!". Maksudnya adalah untuk anda melakukan tugasan anda dalam
perniagaan lebih daripada apa yang disangkakan oleh orang lain.

Kebiasaannya, seorang pekerja hanya akan melakukan tugasannya
apabila disuruh. Pekerja akan melakukan kerja berdasarkan
pendapatan yang diterima. Tetapi, untuk menjadi usahawan yang
berjaya, menteliti sebagai "pekerja" tidak lagi boleh disimpan.

Pelanggan akan mengetahui bahawa anda sanggup bekerja ekstra untuk
memenangi hati mereka. Usahawan lain juga akan dapat melihat
peluang bekerjasama dengan anda oleh kerana anda berusaha
sekeras-kerasnya dalam perniagaan anda. Melakukan kerja lebih
daripada apa yang disangkakan akan membuka pintu rezeki kepada
perniagaan anda.

MEMASAR DAN MENJUAL!

Ini adalah kunci utama kejayaan sesuatu perniagaan- pemasaran dan
menjual! Tahukah anda bahawa lebih 95% perniagaan baru gagal dalam
tahun pertama ia ditubuhkan? Ya, statistik ini amat mengejutkan
bagi bakal-bakal usahawan. Namun, sekiranya anda mempunyai
cirri-ciri usahawan yang berjaya, ia dapat menjauhkan daripada
statistic ini.

Kebolehan memasar dan menjual apa yang anda niagakan adalah nadi
kepada apa jua jenis perniagaan. Kebolehan yang diperlukan adalah:

- Kebolehan berkomunikasi
- Kebolehan merunding
- Kebolehan memujuk pembeli membeli
- Kebolehan menjual produk atau perkhidmatan anda

Kunci kejayaan apa jua perniagaan adalah jualan dan keuntungan yang
tinggi. Tanpa kebolehan "menjual", matlamat sesuatu perniagaan
tidak dapat dicapai. Aliran wang (cash flow) adalah amat penting
dalam perniagaan dan aliran wang hanya akan diperolehi melalui
menjual produk dan perkhidmatan anda.

Oleh kerana menjual adalah amat penting dalam perniagaan, pelajari
kaedah-kaedah menjual melalui buku-buku, seminar perniagaan dan
juga seminar komunikasi.

Bertahun-tahun dulu, saya merupakan seorang yang agak pendiam dan
sukar berkomunikasi dengan sesiapa sahaja- apatah lagi menjual!
Ianya selepas saya memperbaiki kelemahan saya dalam komunikasi,
saya mula dapat melihat kejayaan dalam perniagaan saya berkembang
melalui pemasaran dan jualan yang meningkat. Dua tip dalam menjual:

1. Seseorang itu tidak dilahirkan boleh menjual! Menjual adalah
suatu kebolehan yang boleh dipelajari. Seperti menunggang basikal,
ianya agak sukar pada peringkat awal. Tetapi, apabila berkali-kali
melakukan perkara yang sama, ia menjadi semakin mudah.

2. Komunikasi adalah penting dalam perniaagaan. Namun,
berkomunikasi bukan sekadar maksudnya banyak bercakap! Tetapi juga
untuk bijak mendengar. 85% kejayaan anda adalah bergantung kepada
mereka disekeliling anda. Pelajari kaedah berkomunikasi, mendengar,
memujuk, persembahan untuk mendapat kerjasama dari pelbagai pihak
dalam membantu menjayakan perniagaan anda.

FAHAMI ANGKA PERNIAGAAN

Dimana kebolehan utama seseorang usahawan yang berjaya seperti yang
telah dibincangkan adalah yang melibatkan apa yang dapat dilihat
oleh orang ramai, namun jangan sesekali mengabaikan perkara-perkara
yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai- iaitu angka-angka
perniagaan anda!

Kebanyakan usahawan lebih fokus kepada strategi memajukan
perniagaan dengan memberi tumpuan kepada pekerja, pelanggan,
produk, perkhidmatan dan pemasaran sehinggakan melupakan isu
penting iaitu penyata kewangan.

Anda tidak perlu menjadi pakar dalam bidang perakaunan, tetapi, apa
yang penting adalah untuk anda fahami penyata kewangan anda.
Tugasan mengurus penyata kewangan boleh diagihkan kepada mereka
yang lebih bertauliah. Namun, sebagai usahawan yang berjaya, anda
perlu memahami pengiraan wang dalam penyata kewangan anda supaya
wang yang masuk tidak menjadi wang keluar sehingga menjejaskan
keuntungan keseluruhan perniagaan anda!

TIDAK PUTUS ASA MENCUBA

Seperti yag dikatakan sebelum ini, 95% perniagaan akan
gagal. Ini bermaksud, anda hanya mempunyai 5% peluang untuk berjaya!
Sedih bunyinya bukan? Kunci terkahir adalah tidak berputus asa!

Anda kenali manusia terkaya didunia, Bill Gates. Tahukah anda
bagaimana beliau menjadi manusia terkaya dalam perniagaannya yang
boleh dikatakan yang paling berjaya di dunia?

Pada ketika ini sahaja Microsoft sedang membangunkan dan menguji
lebih darpada 1,600 produk dan perkhidmatan yang belum lagi
dipasarkan dimana kebanyakannya tidak akan dipasarkan pun dan
dikira sebagai projek gagal. Mengapa begini? Microsoft tahu bahawa
lebih banyak mencuba, maka lebih banyak peluang menjumpai kejayaan.

Usahawan yang berjaya adalah mereka yang tidak putus asa dalam
usahanya untuk menjumpai 5% peluang kejayaan itu.

Walaupun dikatakan 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan, rezeki
tersebut tidak akan tercapai sekiranya anda tidak mendalami ilmu
perniagaan. Ambil langkah demi langkah dan pelajari selok belok
perniagaan. Kejayaan perniagaan akan datang kepada anda sekiranya
anda mendalami ilmunya.

-Irfan Khairi- (24 September 2008)

Tip perniagaan : "Usahawan Muslim Perlu Rebut Peluang Perniagaan Internet"

Sejak terdedahnya kisah tokoh usahawan internet, Irfan Khairi yang
berjaya memperoleh pendapatan RM 1 juta hasil perniagaan
internetnya, rakyat Malaysia mula membuka mata. Terutamanya
golongan muda yang bersemangat tinggi, mereka tidak kisah
mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku panduan dan cakera padat
yang menjelaskan langkah-langkah untuk memulakan perniagaan
internet. Bagi yang lebih berkemampuan atau yang benar-benar serius
mahu membuka perniagaan internet sendiri, mereka mula menghadiri
kursus-kursus berkaitan yang yurannya hampir mencecah empat angka,
kerana yakin nilai pulangan yang jauh lebih tinggi daripada itu.

Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan Khairi , penulis buku Rahsia
Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, buku bahasa Melayu yang
pertama yang menceritakan tentang potensi perniagaan internet,
sekaligus membongkar rahsia-rahsia perniagaan internet. Sejak
munculnya buku tersebut di pasaran pada tahun lepas, perniagaan
internet di Negara ini mula menampakkan perkembangan rancak,
meskipun di Barat industri ini sudah berkembang hebat sejak sepuluh
tahun yang lalu."Industri ini masih baru di Negara ini. Cuma sejak
kebelakangan ini ia sudah mula mendapat sambutan dan kepercayaan
orang ramai. Saya harap dengan kehadiran saya dalam industri
internet sejak tahun lepas sedikit sebanyak membuka lebih banyak
mata terutama di kalangan masyarakat bumiputera tentang peluang
perniagaan melalui internet ini," ujar Irfan Khairi yang ditemu
bual baru-baru ini.

FENOMENA BARU

Fenomena ini jelas dapat dilihat apabila buku tersebut menjadi
Best-Seller di kedai-kedai buku terkenal seperti di MPH dan
Kinokuniya. Cakera padat bertajuk Manual Langkah 1-2-3 Membina
Laman Web Perniagaan Internet turut mendapat sambutan di samping
Workshop Jutawan Internet yang dikendalikan sendiri oleh Irfan
Khairi. Itu belum lagi diceritakan tentang produk-produk
seumpamanya yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan internet lain.
Bumiputera yang memiliki tahap ekonomi yang masih rendah tidak
harus melepaskan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja.
Peluang ini harus direbut sebaik mungkin kerana ia sedang terbuka
luas dan masih banyak ruang yang belum diteroka, memandangkan
Malaysia masih lagi berada di tahap awal dalam penerimaan
perniagaan melalui internet.

"Masih terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi oleh
kaum bumiputera di arena internet. Sebagai contoh, ketika saya
bersiar-siar di kedai buku agama, terlalu banyak buku agama yang
ada di pasaran tetapi tidak ada dijual di pasaran internet. Di situ
saja satu idea memulakan perniagaan internet - menjualbuku-buku
agama - boleh dilakukan," kata Irfan.

POTENSI MASA DEPAN

Tambah Irfan, potensi perniagaan internet pada masa hadapan akan
menjadi semakin luas. Seperti televisyen, radio, surat khabar, dan
majalah yang merupakan media yang tidak luntur dek masa, demikian
juga dengan internet.

"Pada masa ini pengguna internet di Malaysia mencecah 10 juta
orang. Pada tahun lepas, jumlahnya adalah sembilan juta orang,
bererti kenaikan sebanyak 1 juta pengguna setahun. Tetapi kita
harus ingat, kenaikan itu tidak berlaku secara linear.

Tahun hadapan bukan bermakna lagi satu juta pengguna internet, tapi
mungkin 1.5 juta atau 2 juta. Saya yakin, pengguna internet dan
penerimaan internet akan terus berkembang di Malaysia seiring
dengan usaha kerajaan yang turut menekankan kepentingan industri
ICT di Negara ini."

Mungkin ramai yang teruja membaca kisah Irfan Khairi, tetapi masih
tidak tahu untuk bertindak. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh
memulakan perniagaan internet sekiranya ada minat untuk
melakukannya. Ini kerana perniagaan internet tidak memerlukan modal
yang tinggi, kerana ia boleh dimulakan dengan modal serendah RM500
sahaja. Ia juga tidak memerlukan pengetahuan teknologi maklumat
yang tinggi kerana hari ini terdapat banyak buku-buku panduan
mengenainya serta perisian-perisian yang membolehkan seseorang itu
membina laman web nya sendiri.

"Sebenarnya untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu
tidak perlu ilmu yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat.
Sudah memadai bagi seseorang yang tahu menggunakan internet -
samada untuk melayari laman-laman web, menggunakan emel atau
membuat penyelidikan.

Sekiranya tahu menggunakan perisian mudah seperti Microsoft Word,
maka, sudah cukup untuk memulakan perniagaan internet. Asalkan
mereka sanggup belajar dan ambil langkah demi langkah," kata Irfan.
Irfan menjelaskan adalah amat rugi bagi seseorang usahawan yang
sudah memiliki perniagaan sendiri tidak mahu merebut peluang ini.

Ini kerana, menjual produk di kedai konvensional hanya dapat
menerima kunjungan orang-orang yang berada di persekitaran kedai
itu. Tetapi dengan cara mengembangkan perniagaan itu di internet,
usahawan tersebut boleh mencapai pengguna internet satu Malaysia
yang jumlahnya melebihi 10 juta orang.

Bahkan, mereka boleh pergi lebih jauh dengan menjual produk mereka
ke seluruh dunia dengan jumlah pengguna internet kini melebihi 1
billion orang.

Internet memiliki banyak kelebihan berbanding perniagaan
konvensional kerana ia tidak dibatasi oleh sempadan geografi,
bangsa dan agama.

Kerana itu, sesiapa sahaja boleh berjaya di internet jika rajin
berusaha, pandai membaca peluang dan yakin kepada diri sendiri.

PENYELESAI MASALAH

Perniagaan internet adalah penyelesai kepada banyak masalah. Ia
boleh menyelesaikan masalah mereka yang menghadapi kesesakan lalu
lintas, kepada ibu-ibu yang mahu menjaga sendiri anak-anak serta
kepada mereka yang masih menganggur.

"Hari ini ramai orang yang menghadapi masalah dengan pekerjaan
mereka, termasuk juga mereka yang tidak ada kerja. Mereka ini harus
memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba perniagaan
melalui internet ini. Ia boleh dijalankan di rumah dengan kos yang
sungguh minimum.

"Bagi graduan menganggur pula, mereka patut merebut peluang ini dan
tidak menunggu pekerjaan makan gaji. Bahkan saya sarankan bukan
sahaja kepada graduan menganggur, tetapi sesiapa juga sebagai satu
cara mendapatkan pendapatan sampingan dan memantapkan ekonomi" kata
Irfan lagi.

KISAH KEJAYAAN IRFAN KHAIRI

Saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan internet kira-kira 7
tahun yang lalu ketika berada di United Kingdom. Pada mulanya, saya
tidak berapa pandai berniaga melalui internet. Minat berniaga sudah
ada sejak di bangku sekolah, tetapi, berniaga di internet adalah
perkara baru.

Pada mulanya saya hanya melakukan perniagaan internet secara
sambilan. Pada mulanya juga, amat sukar untuk saya mendapatkan
pelanggan!boleh dikatakan selama setahun saya gagal dalam
perniagaan internet - malah mengalami kerugian. Saya bertekad untuk
terus berjaya.

Jadi saya berusaha mengumpulkan wang untuk menghadiri kelas
perniagaan internet dan membeli bahan-bahan rujukan perniagaan
internet.

Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya untuk
menampung bahan-bahan pembelajaran serta menghadiri seminar
mengenai perniagaan internet. Alhamdullillah, secara
perlahan-perlahan saya dapat memperbaiki perniagaan saya.
Pengalaman juga turut membantu sehingga saya berumur 25 tahun
(empat tahun lalu).

Allah Maha Pemurah memberi rezeki kepada perniagaan internet saya
untuk meraih lebih dari RM1 juta keuntungan dalam masa 3 tahun. Dua
tahun lepas saya kembali ke Malaysia dan mendapati perniagaan
internet di Malaysia tidak mendapat sambutan.

Ketika itu, saya bertekad untuk mendidik masyarakat Malaysia serta
memberi kesedaran tentang peluang yang terdapat melalui perniagaan
internet melalui buku serta bengkel yang saya anjurkan di
RahsiaInternet.com.
Alhamdullillah, kini masyarakat lebih ramai dapat menerima
perniagaan internet dan saya juga akan terus dengan usaha saya
selagi termampu, Insya-Allah.

MELABUR PADA DIRI SENDIRI

Seringkali saya di Tanya. "Irfan, saya ada wang simpanan RM 5,000
yang saya boleh laburkan. Dimana boleh saya laburkannya untuk
mendapat pulangan tertinggi?"

Jawapan saya adalah : Laburkan pada ilmu.

Kawan baik saya, jutawan Azizi Ali sering memulakan ceramahnya
dengan soalan "Berapa banyakkah anda sanggup melabur untuk
memperolehi pendapatan sebanyak RM1 juta?". Pelbagai jawapan yang
diterima. Ada yang menjawab RM1,000.00. Ada yang menjawab RM10,000.
Ada juga yang menjawab RM100,000!

Walaupun soalannya berbunyi agak simple, namun, jawapan yang diberi
menggambarkan sama ada anda serius dalam mencari ilmu untuk menjana
pendapatan yang tinggi.

Melihat orang-orang yang berjaya di seluruh dunia,mereka merupakan
orang yang suka mencari ilmu untuk memperbaiki diri sendiri. Orang
yang berjaya adalah mereka yang sering dahagakan ilmu dan sentiasa
menuntut ilmu untuk mencari idea-idea baru, teknik dan strategi
yang mereka boleh gunakan dalam memperbaiki diri sendiri dan
menjana lebih banyak pendapatan.

Fikiran adalah anugerah yang paling tinggi nilanya pada setiap
manusia. Manusia juga dikatakan tidak pernah menggunakan
keseluruhan potensi kuasa fikiran yang mereka ada.

Berapa banyak anda patut melabur pada ilmu?

Di sini terdapat satu formula mudah untuk melabur untuk ilmu.
Formulanya berbunyi laburkan 3% daripada pendapatan bulanan anda
kepada ilmu yang dapat memperbaiki nilai diri anda.

Ini bermakna sekiranya pendapatan bulanan anda adalah RM2,000
sebulan, laburkan RM60 setiap bulan untuk ilmu memperbaiki diri
anda. Mungkin dengan jumlah ini, anda akan dapat membeli 2 atau 3
buah buku yang berkaitan dengan industri anda. Ataupun, simpan 3%
selama 4 bulan untuk mengumpul RM240 untuk anda menghadiri kursus
yang boeh memperbaiki nilai diri anda.

Sekiranya anda melabur pada ilmu, sebanyak 3% daripada pendapatan
anda setiap bulan, ilmu tersebut akan menambahkan pengetahuan dan
kepakaran anda dan ia turut akan menambahkan pendapatan bulanan
anda.
Sekiranya anda inginkan kemewahan dan kekayaan, anda perlu menjadi
lebih baik dari mereka di dalam bidang anda. Untuk menjadi lebih
baik - ilmu diperlukan!

Pasaran pendapatan adalah adil. Pasaran akan memberi pulangan yang
hebat kepada mereka yang hebat di dalam industri masing-masing.
Sekiranya anda menjalankan tugas sederhana, pulangan anda juga
turut sederhana. Sekiranya anda mempunyai kepakaran yang tinggi
atas hasil anda mendalami ilmu bidang anda sendiri, anda juga akan
mendapat pulangan yang tinggi dalam bidang anda.

Katakan dengan melaburkan wang anda dalam memperbaiki diri anda
pada setiap bulan sehingga anda menerima pendapatan RM4,000
sebulan. Dengan hanya menyimpan 10% setiap bulan daripada
pandapatan tersebut ke akaun pelaburan yang memberi pulangan 10%
setahun, akaun simpanan anda akan mencecah RM1 juta dalam masa 31
tahun sahaja! Anda akan pencen sebagai seorang jutawan!

Ramai yang akan mengeluh. Menjadi jutawan dalam masa 30 tahun
adalah waktu yang lama! Bagaimana Irfan melakukan dalam masa 3
tahun?

Di sinilah pelaburan pada ilmu pengetahuan menjadi lebih penting.
Sering saya dengar kisah kejayaan di mana seseorang itu mendapat
satu idea atau mempelajari satu teknik dari menuntut ilmu yang
telah memberi mereka pulangan sehingga RM5,000, RM10,000, RM20,000
atau lebih setiap bulan!

Secara peribadi, diri saya sendiri juga turut menerima pendapatan
yang berganda hasil daripada mendapat idea dan teknik daripada
sering mencari ilmu. Dalam mencari ilmu, memang perlu kita melabur.

Cara-cara mencari ilmu :

1. Melalui buku-buku. Jangan lupa,tidak semestinya anda membeli
buku. Perpustakaan membolehkan anda membaca apa saja buku dari
pelbagai bidang tanpa anda perlu membeli buku-buku tersebut. Alasan
tiada wang untuk membeli buku tidak diterima di sini.

2. Salah satu cara terpantas mencari ilmu adalah mempelajari
daripada mereka yang pakar. Dalam bidang apa sahaja pun, terdapat
pakar yang telah berjaya. Pelajari dari pakar industri anda dan ia
merupakan short-cut untuk anda berjaya. Ingat, anda tidak perlu
mencipta kaedah baru- ikuti kaedah dan strategi yang digunakan oleh
orang yang berjaya, dan anda juga akan turut berjaya!

3. Anda juga boleh menyertai seminar dan kursus dalam memperbaiki
nilai anda sendiri. Walaupun anda perlu melabur sejumlah wang dan
tenaga anda untuk ke tempat kursus, sering kali saya mendengar
kisah-kisah kejayaan daripada pelaburan sebegini. Peserta-peserta
kursus saya juga ramai yang telah berjaya melalui kaedah ini!

Terdapat banyak cara untuk menambahkan ilmu yang akan menambahkan
isi dompet anda! Apa yang menghalang anda hanyalah kemahuan anda
dan kesungguhan anda untuk mencari ilmu tersebut.

~IK Irfan Khairi ~ (15 September 2008)

Thursday, January 26, 2012

Tip perniagaan bulan Ramadhan: Perniagaan Ummatan Wasatha

Dalam surah Al-Baqarah, Allah menggelar umat kita sebagai ummatan wasatha. Yang bermaksud yang Terbaik. Wasatha juga bermaksud Adil  seperti disebut dalam al-Asas fit Tafsir. 

Ummatan Wasatha = Terbaik + Adil 

"Sekiranya konsep ini dipegang dalam perniagaan, perniagaan kita
perlulah perniagaan yang terbaik dan adil. Keuntungan yang kita 
dapat juga adalah yang terbaik dan adil. Usaha yang kita lakukan 
juga perlu yang terbaik dan adil." 

Bila dalam perniagaan, bila usaha kita terbaik, produk kita
terbaik, dan perniagaan kita keseluruhan adalah terbaik, memang 
tiada sebab kita tak boleh dapat untung yang terbaik- sehingga 
boleh digelar jutawan. 

* Oleh itu, dalam perniagaan, kita perlu dapatkan untung yang
terbaik. Bukanlah untung yang sikit.  

* Sebaiknya jadi jutawan atau billionaire, dan bukannya sekadar
"bisnes cukup-cukup makan" atau ramai selalu sebut "boleh la... 
surviving!"  

* Sebaiknya perniagaan terus berkembang dan maju, dan bukan di
takuk lama seperti 5-10 tahun yang lalu. Atau 5-10 hari yang lepas.  

Itulah dianya perniagaan konsep ummatan wasatha. Terbaik dan adil. 

Bagaimana caranya? Jawapannya dalam surah Al-Imran yang menyebut
tentang golongan ulul albab. Iaitu golongan yang...  

berakal + berilmu + berfikir. 

-IK Irfan Khairi-

Tuesday, January 24, 2012

Strategi perniagaan unta Abdul Rahman bin Auf


Pada satu ketika dahulu, sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Bin Auf
adalah usahawan termasyur. Antara perniagaannya adalah menjual
unta. Beliau mempunyai satu strategi sehingga mendominasikan
pasaran unta, dimana pada sebelum itu pasaran dimiliki oleh
usahawan-usahawan Yahudi. 

Strateginya? unta-unta beliau dijual pada harga cost price (harga
kos)- tiada untung! Semua yang ingin membeli unta akan pergi ke
Abdul Rahman b Auf. 

Tiada untung dalam menjual unta? Habis tu, macam mana nak berniaga? 

Apabila ditanya, jawabnya... 

Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual
pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual "tali
pengikat unta". Di situlah datangnya keuntungan. Diceritakan bahawa
tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam-macam warna. 

Hebat! 

Strategi ini walaupun telah dilakukan pada zaman 
Rasulullah, kalau di lihat zaman ini, banyak perniagaan menggunakan 
kaedah yang sama. Air Asia adalah antara yang menggunakan kaedah ini. 
Cuba fikirkan bagaimana Air Asia mengenakan tambang rendah (ada yang 
pada RM0), dan mengenakan bayaran pada produk dan perkhidmatan lain. 
Hmmm... nampaknya kaedah Air Asia bukanlah kaedah yang baru ;) 

 -IK Irfan Khairi-

Thursday, January 19, 2012

TIP IK: MENCAPAI KEJAYAAN EMAS


Bagi yang minat olympic, pastinya terpaku didepan TV
je sejak beberapa hari lepas. Saya sendiri dulu-dulu ikut juga
Olympic, tapi, waktu ni sibuk sikit, so, tak sempat nak ikuti... 

Walaubagaimanapun, kalau tak ikut Olympic, satu nama yang pasti
kita dengar Olympic Beijing kali ini adalah Michael Phelps-
pemenang emas bagi acara renang dan kini beliau telah memenangi
lebih 10 pingat emas secara terkumpul daripada Olympic. Satu record
baru yang dahulunya di pegang oleh atlit seperti Carl Lewis dengan
9 pingat emas. 

Olympic Beijing ini sahaja Phelps sudah mengumpul 8 pingat emas. 

Apakah rahsianya? 

"I have so many races, so much to do in every race, I have to keep
100 per cent focused. No matter how good, you have to force it out
of your head," 
-Michael Phelps 

Maksudnya adalah: 

-100% fokus  
-Jangan fikir diri kita sudah bagus (penting ni)  
-Bersaing dengan diri sendiri, dan bukan oran lain!  

Walaupun kita tak masuk Olympic, tapi, strategi Phelps adalah
sesuatu yang kita juga perlu ada! 

"When someone says you can't do something, it shows that anything
is possible. When you put your mind to a certain thing, it can
happen. The biggest thing is nothing is impossible. All it takes is
an imagination." 

-Michael Phelps 

Sesuatu yang amat memberi inspirasi!

TIP IK: PERNIAGAAN SEBAGAI TABIAT


Kesemua usahawan jutawan yang berjaya yang pernah saya 
jumpa menjadikan perniagaan sebagai tabiat! 

Apa kata anda fikirkan konsep ini- jadikan perniagaan sebagai
tabiat anda. "The habit of doing & running business." 

Diri saya sendiri juga sudah menjadikan perniagaan sebagai tabiat.
Kebanyakan masa dalam sehari saya luangkan dalam perniagaan dan
fikirkan mengenai perniagaan. Bila perniagaan menjadi sebahagian
daripada diri kita, dan ianya menjadi tabiat, ianya amat sukar
untuk gagal dalam perniagaan. 

Bagaimana hendak menjadikan perniagaan sebagai tabiat? Saya ada
satu jawapan yang amat bernas...  

Sesuatu amalan yang diamalkan sekitar 21 - 30 hari seterusnya,
ianya akan menjadi tabiat dan kalau tidak, ilmu itu akan mati.
- Rasullullah S.A.W 

Bukan sahaja perniagaan sebagai karier pilihan... tetapi, perniagaan
dijadikan sebagai tabiat. Tabiat mencari rezeki perniagaan! 

Salam hormat! 

-Irfan Khairi-

Tuesday, January 17, 2012

TIP PILIHAN: MENTOR JUTAWAN ANDA!


Sejak tahun lepas, saya telah diberi peluang untuk
mengemudikan rancangan bicarawara radio saya sendiri; "Jutawan!
bersama Irfan Khairi" di Radio 24, Bernama. 

Di dalam artikel ini, adalah kumpulan 8 nasihat terpilih yang
memaparkan ikon-ikon jutawan berkongsikan kisah, strategi dan tips
bagaimana anda juga boleh mencapai kejayaan yang cemerlang. 

Mentor Jutawan #1: Dato' Dr. Fadzilah Kamsah (Motivator)
*Mengenai rahsia kejayaan perniagaan! 

Untuk berjaya dalam apa perniagaan pun, kita mesti ada niche atau
bidang yang kita pakar. Sebenarnya Irfan Khairi berjaya kerana
pakar dalam bidang yang orang lain tidak nampak sebelum ini.
Motivasi pula saya adalah antara kalangan yang tertua. Jadi kita
jadi yang pioneer. 

Satu lagi kita mesti ada satu bidang yang luar biasa dan orang lain
perlukan. Ertinya kalau kita nak berniaga, kita perlu berniaga yang
orang lain tak boleh nak beri. Jadi orang mendapatkan khidmat
daripada kita.  

Mentor Jutawan #2: Azizi Ali (Jurulatih Jutawan)
*Cara yang lebih bijak menjadi jutawan 

Untuk menjadi seorang jutawan dengan cara yang lebih bijak adalah
dengan adanya 'multiple streams of income'. Ini bermakna wang kita
yang masuk ke dalam kita punya akaun biar datang dari banyak aliran
pendapatan.  

Sebagai contoh saya sendiri di mana saya masih seorang juruterbang
saya mendapat gaji saya setiap bulan tetapi saya juga mendapat
royalti daripada hasil penulisan buku saya serta saya juga mendapat
hasil daripada sewaan rumah saya. Saya juga mendapat dividen
daripada beberapa pelaburan saya yang lain. 

Saya juga tahu yang kebanyakan kenalan jutawan saya punyai MSI ini
iaitu 'Multiple sources of Income'. Dan untuk mendapatkan multiple
inilah di mana kita perlu buat 'after burner income' di mana kerja
itu sekali dan mendapat pulangannya datang berkali-kali. 

Mentor Jutawan #3: Dato Dr Azman Ching (Jutawan Jualan Langsung)
*Mengenai matlamat 

Hari ini kita hidup dalam dunia ni beberapa puluh tahun sahaja dan
akhirnya kita akan meninggalkan dunia ini, tetapi manusia meninggal
dengan meninggalkan nama. Tapi nama kita boleh ditinggalkan atau
diingati oleh keluarga kita. Tetapi yang paling penting adalah
apakah matlamat yang kita capai.  

Tak kisahlah matlamat kita apa pun samada nak mejadi seorang peguam
ataupun doktor, tapi yang paling penting adalah matlamat kita
tercapai. Kita boleh tengok yang baru-baru ini, matlamat seorang
angkasawan yang telah tercapai untuk sampai ke angkasa. Kita nampak
apabila matlamat kita tercapai, itu akan menjadikan kita sebagai
manusia menjadi lebih positif dan akan meneruskan perjuangannya
dalam kehidupannya. 

Bila kita punyai matlamat kecil maka kecillah hasilnya, dan
sekiranya kita punyai matlamat yang besar maka besarlah hasilnya. 

Mentor Jutawan #4: Chef Li (Jutawan Senyap)
*Mengenai perlunya idola/mentor 

Kita memerlukan idola dalam bidang yang kita nak kerjakan. Sebab,
bisnes ini bukan suatu yang mudah buat terus menjadi, selalunya
lari jauh daripada apa yang kita rancang. Jadi apabila kita jumpa
dengan idola yang tepat, kita akan mendapat nasihat-nasihat yang
positif. Jadi maknanya, dalam berkawan pun kena pilih juga dah jadi
usahawan-usahawan ini. Tak sesuai lagi kita dah jadi usahawan ini
kita berkawan dengan orang yang minat memancing, minat burung dan
sebagainya. 

Bila kita meluahkan susah payah kita pada beliau, dia akan kata
'dah kata dulu dah, bisnes memang macam tu, susah', tapi kalau kita
jumpa satu rakan ataupun seorang idola, ataupun seorang mentor yang
memang seorang usahawan yang tulen, bila kita mengadu padanya 'aku
berniaga ni dah dua minggu, merosotlah, tak mencapai sasaran'. Dia
akan tanya 'Berapa jualan engkau sekarang?'. 'Dulu-dulu selalu lima
ratus, sekarang cuma empat ratus'. 'Empat ratus bagus lagi, aku
dulu pernah lima puluh saja'.  

Mentor Jutawan #5: Billi Lim (Jutawan berani gagal)
*Mengenai kegagalan 

Pada saya 'When you lose, don't lose the lesson'. Maksudnya bila
anda gagal, jangan lupakan pelajarannya. Setiap yang kita buat
adalah pelajaran. Mungkin bukan hasil apa yang kita nak, tapi apa
sahaja yang terjadi, anda akan belajar dari kesilapan dan tugas
anda adalah tidak mengulangi kesilapan yang sama. 

Sebagai contoh, dalam satu temuduga dengan Bill Gates 'What type of
people you would like to employ?. Bill Gates jawab 'I would employ
a person, who have failed before, the reason I want to employ is
because I don't want him to fail in my company, so he must fail in
other people's first!  

Boleh katakan sekiranya seseorang itu diberi peluang ke dua,
kesetiaan dan tenaga akan bertambah. Memang betul, daripada
pengalaman saya, sesiapa yang pernah gagal, akan menjadi lebih baik
kemudian. Tiada sebarang inovasi akan terjadi sekiranya seseorang
itu takut gagal! 

Mentor Jutawan #6: Abang Abu (motivator)
*Mengenai strategi mencapai matlamat semudah A-B-C-D
 
itu adalah Aim. Ada orang yang tiada aim, ada juga yang banyak
sangat aim. Kita kena tanya diri kita, apa matlamat kita buat
sesuatu perkara. Matlamat kena satu, kerana ramai selalunya
mempunyai banyak sangat matlamat. 

B pula adalah believe, iaitu percaya akan matlamat kita. Ramai
mempunyai impian besar tetapi tidak mencapainya, kerana kita mesti
percaya akan impian tersebut. Contohnya Edison, ramai yang
mengatakan beliau gila kerana cuba mencipta lampu beratus kali.
Tetapi beliau percaya dalam matlamat beliau. 

C adalah courage. Berani untuk apa? Mungkin berani untuk gagal.
Misalannya kita tidak perlu takut jika kita membuat sesuatu itu
gagal atau tidak menjadi Keberanian menerima kegagalan sendiri dan
berubah! 

D pula Do it, kalau nak duit kena do it. Kalau kita nak sesuatu,
kita kena lakukan sesuatu untuk mencapainya. Jangan berhenti
sehingga kita mencapai apa yang kita nak. 

Mentor Jutawan #7: Dato' Hussamuddin (Pengasas Kumupan Karangkraf!)
*Mengenai mengendalikan kakitangan 

Di Karangkraf sekarang kita ada 1100 karyawan. Tetapi saya tak rasa
susah handle mereka, kerana saya memberi ruang kepada setiap insan
yang ada di Karangkraf untuk berkembang dengan pace mereka sendiri.  

Saya percaya, kalau kita beri seseorang kepercayaan, dia akan boleh
berkembang. Jadi di Karangkraf, saya percaya kepada memberi
peluang. Saya beri mereka tanggungjawab, dan biar mereka
berkembang. Setiap team diberi autonomi untuk mengendalikan majalah
mereka sendiri. 

Saya bagi peluang, saya bagi ruang, saya bagi guideline dan saya
delegate kuasa dan authority kepada setiap orang untuk berkembang.
Ia ibarat anak, kalau kita kongkong sangat, anak itu akan jadi
memberontak. Tapi kalau kita bagi galakan, garis panduan, anak
tersebut boleh berjaya. Itulah prinsip yang kami amalkan. 

Mentor Jutawan #8: IK- Saya sendiri!
*Mengenai pengorbanan dalam menuntut ilmu 

Kerja yang saya lakukan sebagai tukang cuci memberikan pengalaman
kepada saya, setiap pagi selama dua tahun, sebelum memasuki kelas
ataupun kuliah di universiti, saya akan bekerja sebagai tukang cuci
pasaraya dan tandas untuk mendapatkan wang tambahan. Saya lakukan
ini selama 2 tahun. 

Dengan wang tambahan tersebut saya akan ke kedai buku pada hujung
minggu untuk membeli buku-buku kejayaan untuk melengkapkan lagi
diri saya tentang ilmu-ilmu kejayaan. Jadi di situ, saya dapat
mempelajari bahawa kita perlu mempunyai satu disiplin yang kuat
untuk berjaya dalam bidang apa sahaja yang kita masuki.  

Kemudian barulah saya memulakan perniagaan dan mempelajari tentang
ilmu perniagaan ini iaitu perniagaan Internet. Di situ rezeki mula
berpihak kepada saya.

~IK Irfan Khairi~

TIP PILIHAN: INTERNET MEMBANTU PERNIAGAN BUKAN INTERNET

Ramai yang tanya pada saya, bagaimana Internet boleh  membantu perniagaan bukan Internet mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai spa, kedai dobi, kedai buku, kedai jual nasi ayam atau apa sahaja kedai yang mempunyai kehadiran fizikal (bricks & mortar), adakah Internet dapat membantu menambahkan keuntungan perniagaan tersebut? 


Jawapan saya, sudah tentunya YA! 


Pengiklanan dan juga kehadiran sesuatu perniagaan fizikal di Internet dapat membantu menjana keuntungan tambahan serta dapat menarik prospek yang sebelum ini tidak mengetahui tentang sesuatu perniagaan itu. 


Berikut adalah beberapa contoh penggunaan media Internet dalam membantu usahawan-usahawan yang memiliki kedai fizikal: 


Laman web 
========= 
Bayangkan sekiranya anda seorang agen insurans, atau agen jualan  langsung, atau agen haratanah, dalam masa sehari berapa ramai  prospek anda boleh jumpa? Mungkin secara kasar, 3 atau 4 prospek  sehari. Jumpa dua prospek sebelah pagi, dan lagi dua sebelah petang  pula. 


Langkah utama dalam mempunyai kehadiran di Internet adalah dengan memiliki laman web sendiri. Pengguna Internet Malaysia kini menjangkau 14 juta pengguna. Dengan penggunaaan Internet yang amat tinggi ini, tidak mustahil untuk mendapat 100-200 pelawat melawat laman web anda setiap hari (atau lebih!). Dan, lagi menyenangkan anda, anda tidak perlu keluar dari rumah! 


Dengan menyediakan laman web, anda boleh meletakkan segala maklumat atau presentation perniagaan anda. Pelawat akan melawat laman anda dan mempelajari segalanya berkaitan dengan perniagaan anda. Memiliki laman web asas akan memudahkan prospek anda oleh kerana, mereka juga tidak perlu pergi ke kedai anda untuk pelajari apa yang anda sediakan. Laman web anda akan meletakkan minda prospek anda dalam keadaan "Ingin membeli!" jauh sebelum mereka sampai ke kedai anda! 


BLOG 
==== 
Blog, atau Web Log (www.blogger.com), kini menjadi trend semasa di mana sesiapa sahaja boleh mempunyai kehadiran online secara mudah. Blog boleh menjadi tempat sesiapa sahaja menulis pendapat mereka mengenai apa sahaja isu yang diinginkan. Daripada hobi, ke politik hingga ke agama. 


Penggunaan blog boleh juga membantu sesuatu perniagaan dalam merapatkan lagi pengguna tersebut dengan pemilik perniagaan. Anda boleh melihat contoh blog saya di www.IrfanKhairi.com di mana saya memberi tip-tip perniagaan, kewangan dan motivasi. Di samping itu, blog digunakan untuk memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan Irfan Khairi Sdn Bhd kepada pelawat blog. 


Seperti contoh sebelum ini, ianya tidak mustahil mendapat 100-200 pelawat blog anda setiap hari. Blog www.IrfanKhairi.com pula menerima lebih daripada 1,000 pelawat sehari. Tidak berdaya saya sendiri pergi berjumpa 1,000 prospek dalam masa sehari, tetapi, kehadiran blog saya itu membolehkan 1,000 prospek mengetahui tentang perniagaan saya setiap hari. 


Fikirkan bagaimana blog boleh membantu perniagaan anda. Bergantung kepada perniagaan anda, anda boleh membina blog yang memberi tip-tip menarik berkaitan dengan perniagaan anda untuk manfaat orang ramai.  


YOUTUBE 
======= 
Sebelum ini, untuk membuat iklan berbentuk audio dan visual, pilihan usahawan adalah TV. Tetapi, kita sedia tahu bahawa pengiklanan TV adalah amat mahal terutama untuk usahawan-usahawan kecil dan sederhana. 


Selamat datang kepada YouTube.com di mana, kini, sesiapa sahaja boleh membuat iklan berbentuk audio visual untuk tatapan pengguna-pengguna Internet. Sehingga slogan YouTube sendiri berbunyi "Broadcast Yourself!" 


Anda hanya perlu digicam yang boleh merakam video (pastinya zaman ini, semua digicam boleh!), dan anda boleh merakam contoh produk anda atau kedai anda untuk paparan di YouTube. Anda merupakan agen hartanah? Gunakan YouTube untuk paparkan ruang makan, bilik, bilik mandi dan dapur rumah yang anda ingin jual. Anda merupaka seorang motivator? Gunakan YouTube untuk memberi contoh-contoh ceramah anda. 


Gunakan kreativiti anda! 


Di atas hanya beberapa perkhidmatan popular yang boleh digunakan dalam mempromosi perniagaan fizikal anda di Internet. Walaupun perniagaan fizikal anda bersifat tempatan, dengan mempunyai kehadiran di Internet, perniagaan anda bukan sahaja boleh mencapai pelanggan seluruh Malaysia, bahkan, boleh mencapai pelanggan sedunia. 


Pengguna Internet di Malaysia kini berjumlah lebih daripada 14juta pengguna. manakala pengguna Internet dunia pula adalah lebih daripada 1.2 billion pengguna. Dengan menggunakan Internet, pastinya perniagaan bukan Internet juga dapat mencapai lebih ramai prospek! 


Sekarang anda dapat lihat kekuatan Internet?

TIP PILIHAN: MUDAHNYA BERFIKIR NEGATIF


Sekiranya minda kita dipenuhi dengan terlalu banyak perkara
negatif, kita akan memupuk tabiat berfikiran negatif. Sehingga
pemikiran negatif, menjadi dominan dan membahayakan diri. 

Contohnya, kalau kita terdengar kawan kita kata: 
 
"Eh, ko tau tak kat muzium ada si polan ni nak duduk dalam sangkar
dengan 200 ular berbisa selama satu minggu"

Selalunya apa yang kita fikirkan? Sering kali negatif: 

1) Kerja gila si polan tu, kena patuk ular, terus gol... baru dia tau
(dah gol, nak tau apa lagi ye tak?)  

2) Takde kerja si polan tu, nak cari publisiti murah! 

3) Buang masa je, baik buat benda lain yang berfaedah & tak bahaya! 

Betul kan? Ini kerana zaman ini, bila kita didedah dengan terlalu
banyak perkara negatif, maka, negatif lah dalam pemikiran kita. Ini
menjadikan berfikir negatif itu mudah. Sebabkan berfikir negatif
itu mudah, sebab itu banyak point-point yang negatif akan keluar
dulu dengan pantas. 

Lawannya pula adalah berfikir positif. Kini, untuk berfikir positif
anda perlu usaha lebih sikit. Sebab ia menjadi sukar berfikir
positif. Mungkin anda fikir:

1) Wah, hebat si polan ni. Sudah tentu polan ni melalui latihan
minda dan fizikal yang amat tinggi nilainya!  

2) Bagus juga si polan ni, silap-silap dapat masuk dalam Book of
World Records! Mari kita beri sokongan!  

3) Kalau si polan boleh melakukan sesuatu yang luar biasa, aku pun
boleh juga! Ini satu inspirasi!  

Setuju tak bahawa berfikir negatif adalah mudah dan berfikir
positif adalah susah? 

Latihkan diri anda untuk berfikir positif setiap masa. Ia akan
memberi semangat dan motivasi yang hebat kepada diri anda sendiri.
Menurut buku "Secrets of Millionaire's Mind", pemikiran positif
adalah amat penting dalam mencapai kejayaan. Ia akan membuka lebih
banyak pintu rezeki dan membolehkan kita melihat peluang-peluang
yang ada di sekeliling kita. 

 -IK
Irfan Khairi