Sunday, August 27, 2017

MELABUR SAHAM PENNY STOCK?

Catatan fb Faizal Yusup (FY) 27 Ogos 2017
Ramai pelabur baru malah pelabur lama yang membeli saham dengan sangkaan yang semua saham itu sama sahaja dan bagi kebanyakan, mereka suka membeli saham-saham murah dibawah harga RM0.50. Katanya untuk tujuan leverage kerana membeli saham murah dapat beli banyak dan kalau beli banyak kalau harga saham itu naik maka banyaklah keuntungannya.
Di sini biarlah FY terangkan mengenai saham-saham di bawah 50 sen ini. Saham-saham ini juga dikenali sebagai saham 3rd liner, saham penny, saham berjajaran kecil atau pada FY saham Cap Ayam.
Kenapa harga saham penny ini murah?
Ia murah sebab kemungkinan besar saham ini tidak bagus, saham syarikat yang mengalami kerugian, sebab itulah harganya murah. Silap-silap ia jatuh dan terus jatuh dan akhirnya mendapat status Practice Note 17 atau PN17 atau status G5 yang mana ia akan dinyahsenaraikan atau delisted. Maka dalam hal ini pelaburan modal anda akan menjadi 0!
Siapakah pelabur-pelabur yang terlibat melabur dan ber”main”dalam saham-saham Penny ini?
Saham seperti ini tidak disertai oleh para pelabur jangkamasa panjang atau Investor, tidak disertai oleh Institusi Asing mahupun Tempatan. Pembelinya terdiri dari golongan PDT, Day Trader, Trader, Kontra Players, Sindiket Saham dan Newbie. Keuntungan hanya akan dijana kepada Sindiket dan Trader-Trader yang berpengalaman, yang hilang duit ialah Trader yang tidak berpengalaman juga para Newbie. FY pernah terangkan mengenai PDT dan Sindiket dalam artikel-artikel sebelum ini.
Bagaimana nak tahu saham Penny ini ada sindiket yang menjaganya?
Ia mudah sahaja. Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan menganalisa carta sepanjang sejarah pergerakan harga syarikat tersebut. Kalau terdapat “spike” iaitu kenaikan harga saham yang berkali ganda dan kemudian ia turun umpama terjunan bungee jumping maka elakkanlah saham-saham sebegini. Harga saham ini boleh naik dari harga 20 sen hingga ke RM2.00 dan kemudian jatuh balik ke harga asalnya. Mereka yang terbeli pada harga yang tinggi itu pastinya akan mengalami kerugian yang nyata.
Begitupun ada di kalangan saham-saham penny ini yang baik yang mana syarikatnya menjana keuntungan. Kita hanya perlu membuat sedikit penyelidikan bagi menentukan senarai saham-saham penny yang baik ini. Kalau tidak, kalau anda masih berdegil ingin membeli saham-saham cap ayam ini, saranan FY belajarlah analisa CSI iaitu dengan membuat siasatan yang menyeluruh tentang saham yang bakal anda beli itu. Maknanya carilah siapa yang menjaga dan memelihara harga saham-saham tersebut atau belajarlah Analisa Teknikal supaya anda masuk dan keluar pada masa yang baik dan menguntungkan.
Oleh sebab yang sama, bagi mendapatkan pelaburan dari para pelabur runcit maka syarikat mengeluarkan saham-saham warrant yang lebih murah dari harga saham ibunya untuk kita buat pelaburan. Bilamana harga saham ibunya naik maka saham warrant ini akan naik juga. Leveraga dalam saham-saham sebegini pastinya membawa kepada keuntungan yang berlipat kali ganda.
Saham Warrant yang FY maksudkan di sini ialah saham Warrant yang diterbitkan oleh syarikat saham tersebut dan bukannya Call Warrant yang diterbitkan oleh pihak ketiga. Call Warrant hendaklah dielakkan melainkan anda faham propektusnya.
Kesimpulannya kita kena tahu apa yang kita buat, kita kena tahu apa yang kita laburkan. Tanpa ilmu ia pastinya kan merugikan pihak anda.
Sekian dulu buat kali ini.
Ikhlas,
FY
016 6667430

Wednesday, July 13, 2016

Bajet lari ketika raya?

Oleh : Irfan Khairi.[11 Julai 2016]

Apa nak buat kalau bajet raya sentiasa lari?

Selepas raya ini, ramai juga yang mengeluh tentang 'bajet lari'. Bukan raya ini sahaja, malah, raya-raya yang lepas. Sering saya menasihatkan sekiranya bajet sering lari ketika raya, itulah tandanya untuk tahun hadapan, perlu lebih berjimat.

Tetapi, ada juga yang berkata pada saya, mereka telah berjimat sepanjang tahun, dan menyimpan sepanjang tahun, tetapi apabila tiba musim perayaan, bajet tetap lari juga. Bagaimana pula?
 
Dalam memperbaiki keadaan kewangan, hanya 2 pilihan sahaja. Pilihan pertama adalah lebih berjimat dan menyimpan. Pilihan kedua pula adalah tambahkan pendapatan.

Sekiranya pilihan pertama kita telah lakukan, kita sudah berjimat, sudah menyimpan, tetapi keadaan kewangan masih di paras 'cukup-cukup makan', maka tiada pilihan lain tetapi pilihan kedua iaitu tambahkan pendapatan dengan cara tambahkan kerja 'overtime' atau mulakan perniagaan sambilan.

Cuba ingat semula tahun-tahun yang lepas, adakah perkara yang sama berlaku iaitu setiap kali musim perayaan bajet lari? Sekiranya ya, jika kita tidak berubah, pastinya ia tetap akan terjadi lagi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Thursday, May 12, 2016

3 kunci untuk mencapai matlamat anda!

Oleh : Irfan Khairi.[12 Mei 2016]

Suka saya kongsikan 3 perkara penting dalam mencapai sesuatu matlamat perniagaan...Ok, berbalik kepada 3 kunci untuk mencapai matlamat perniagaan...

Image
1. Jangan PUTUS ASA

Dalam mencapai apa sahaja matlamat yang besar, pastinya ada pelbagai cabaran dan dugaan. Akan terdapat waktu dan ketika apabila cabaran yang datang terlalu besar hingga membuatkan kita hampir putus asa.

Waktu ketika 'hampir putus' asa inilah yang paling kritikal untuk memastikan kita mencapai matlamat yang diimpikan. Ramai usahawan akan berhenti di sini dan give up oleh kerana tidak tahan menghadapi dugaan ini. Namun, untuk berjaya, mereka yang menghadapinya dengan tabah dan berdegil untuk tidak putus asa adalah mereka yang bakal mencapainya!

2. Bina jenama anda

Amat penting dalam perniagaan untuk membina jenama anda. Dalam dunia perniagaan yang penuh dengan pesaing (tidak seperti 20 tahun lalu!), terlalu banyak pilihan pelanggan di luar sana. Perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang berjaya membina jenama mereka supaya 'stand out from the crowd'.

Sehinggakan di program Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial, dalam kelas pertama saya tekankan betapa pentingnya membina jenama dan bagaimana caranya untuk lakukan ini.

Di Malaysia secara rata-rata usahawan kecil-kecilan terutamanya tidak mementingkan jenama. Maka, agak sukar untuk mencapai kejayaan perniagaan.

3. Mula kecil tetapi kembang besar!

Start big and finish small! Pada tahun 2000 saya mulakan perniagaan Internet saya seorang diri. Bukan terus berjaya tetapi bermula dengan pelbagai kegagalan. Alhamdulillah sehingga hari ini perniagaan saya telah dikenali hingga ke luar negara termasuk Dubai. Bulan hadapan pula mendapat jemputan ke New York pula - kali ke dua!.

Tetapi bayangkan, saya bermula hanya dengan perniagaan kecil yang bermula di flat ber kos rendah seorang diri!

Maksud saya di sini adalah, jangan malu untuk bermula kecil. Apa yang penting adalah untuk BERMULA. Mempunyai idea sahaja atau impian tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak bermula langkah pertama. Biar gagal apabila sudah mula tetapi jangan gagal untuk bermula!

Dan di sini, Internet memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memulakan perniagaan walaupun kecil pada kos yang sangat rendah.

Thursday, May 05, 2016

Strategi perniagaan SEJARAH ISLAM...

Oleh : Irfan Khairi.[3 Mei 2016]

Saya kongsikan kisah strategi perniagaan...

Pada satu ketika dahulu, sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Bin Auf adalah usahawan termasyur. Antara perniagaannya adalah menjual unta. Beliau mempunyai satu strategi sehingga mendominasikan pasaran unta, dimana pada sebelum itu pasaran dimiliki oleh usahawan-usahawan Yahudi.

Strateginya? unta-unta beliau dijual pada harga cost price (harga kos)- tiada untung! Semua yang ingin membeli unta akan pergi ke Abdul Rahman b Auf.

Tiada untung dalam menjual unta? Habis tu, macam mana nak berniaga?

Apabila ditanya, jawabnya…

Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta”. Di situlah datangnya keuntungan. Diceritakan bahawa tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam-macam warna. Hebat!

Contoh strategi ini sahaja menunjukkan bahawa pentingnya untuk fikir di luar kotak bagi usahawan-usahawan dulu hingga kini. Dalam keadaan ekonomi kini dan pesaingan perniagaan kini, sememangnya tiada jalan pintas untuk berjaya. Usahawan perlu sentiasa peka untuk memberi yang terbaik kepada pelanggan.

Usahawan yang tidak mempunyai ilmu, teknik dan strategi dalam perniagaan pastinya akan mengalami kegagalan!

Tuesday, April 19, 2016

6 sebab mengapa ANDA perlu memulakan perniagaan?

Oleh : Irfan Khairi.[19 April 2016]

Alhamdulillah, masuk tahun ini, genap 16 tahun saya menjalankan perniagaan melalui Internet. Dari dulu hingga kini sering saya memberi motivasi kepada masyarakat untuk memulakan perniagaan lebih-lebih lagi untuk menampung kos hidup yang semakin tinggi kini. 

Semalam pula baru pulang dari Bintulu bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membantu usahawan-usahawan desa di sana.

Di bawah, adalah artikel yang saya kongsikan di blog saya beberapa hari lepas bertajuk "Mengapa perlu memulakan perniagaan" dan suka untuk saya kongsikan dengan anda di sini.

Berikut adalah sebab-sebabnya…

1. Mulakan perniagaan sebab…

Jadi boss! Anda sendiri dapat mengawal perjalanan perniagaan anda. Anda in control. Bagi mereka yang ingin mengawal dan membuat keputusan sendiri setiap hari, memulakan perniagaan adalah caranya. Bukan sahaja keputusan untuk diri sendiri tetapi juga membina budaya kerja sepertimana yang diinginkan.

2. Mulakan perniagaan sendiri…

Dapat megimbangkan masa kerja dan gaya hidup. Dengan melakukan delegasi dan automasi pada perniagaan (seperti perniagaan Internet), anda dapat membebaskan lebih banyak masa anda untuk melakukan perkara-perkara yang anda suka (selain daripada perniagaan!). Tidak lagi terikat dengan jam 9 malam hingga 5 petang waktu pejabat.

3. Mulakan perniagaan sendiri…

Sebagai satu cabaran oleh kerana pastinya ia mempunyai risiko. Sekiranya tidak banyak pun, ada juga sedikit risiko. Namun, dengan cara dan kaedah yang betul, pulangan perniagaan adalah berkali-kali gandanya. Berbaloi dengan cabaran dan risiko yang dilalui. Pastinya 9 daripada 10 rezeki datangnya dari perniagaan!

4. Mulakan perniagaan sendiri…

Dapat melakukan apa yang anda minat dan suka. Bayangkan sekiranya perniagaan yang anda jalankan adalah berkaitan dengan minat anda. Pagi petang siang malam, dapat melalukan kerja yang diminati. Hari akan rasa pantas dan kerja akan rasa mudah.

5. Mulakan perniagaan sendiri…

Dapat memberi momentum yang luar biasa. Apabila sendiri yang bertanggungjawab atas kejayaan perniagaan sendiri, ia memberi momentum dan semangat pada diri sendiri. Tidak lagi perlu mengikut arahan, tetapi terus mencuba dan melakukan sesuatu yang baru untuk perniagaan. Lebih pantas bermula, maka lebih pantas mencapai sesuatu!

6. Dan kalau itu tak cukup, mulakan perniagaan sendiri…

Untuk mendapat untung yang berganda. Sekiranya kita hebat bekerja makan gaji, diberi masa akan naik juga gaji. Sekiranya kita hebat melabur, diberi masa kita boleh mendapat pulangan pelaburan 20-30% setahun. Sekiranya kita hebat berniaga diberi masa kita boleh mendapat pulangan 200-300% dan lebih setahun! Perniagaan dapat memberi pendapatan tertinggi kepada usahawan.

Sunday, January 10, 2016

Formula perniagaan Internet 3P (Wanita Hari Ini, TV3)‏

Oleh : Irfan Khairi.[7 Januari 2016]

Saya dijemput ke Wanita Hari Ini, TV3 untuk berkongsikan mengenai menjana pendapatan tambahan satu usaha yang di cadangkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam menggalakkan pendapatan tambahan. Sekiranya anda terlepas, konsep 3P (Produk, Platform dan Promosi) yang saya kongsikan, berikut adalah ringkasannya. Anda juga boleh menonton rakaman ini di Tonton secara online.

P - Produk
Dalam memulakan perniagaan Intternet, pastinya memerlukan produk atau perkhidmatan untuk dijual. Terutamanya sekiranya perniagaan yang ingin dimulakan adalah perniagaan sambilan, terbaik memulakan perniagaan yang berdasarkan minat atau hobi.

Apa taknya, dah balik pejabat mungkin penat-penat, tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi kepuasan kepada diri sendiri, bukan sahaja pada wang. Jadi, P yang pertama adalah dapatkan produk dan perkhidmatan mengikut minat.

P - Platform

Untuk memulakan perniagaan sambilan, gunakan platform yang anda sedia ketahui. 

Contoh, mungkin anda biasa menggunakan Facebook, dan juga menggunakan email (seperti email ini). Dua contoh itu sahaja dapat memberi gambaran bahawa ilmu menggunakan perisian ini, anda sudah ada. Cuma, bagaimana hendak menjadikan kedua perisian yang kita biasa gunakan ini untuk berniaga...

P - Promosi

Pelajari strategi dan teknik promosi platform yang anda pilih. Tanpa teknik dan strategi yang betul, pastinya sukar mendapat pelanggan. 

Ramai yang bertanyakan saya, bahawa mereka telah menggunakan facebook, instagram dan lain-lain tetapi masih sukar mendapat pelanggan.

Jawapannya adalah mudah. Teknik dan strategi promosi yang digunakan adalah tidak efektif. Malah ada yang hanya menjatuhkan kredibiliti perniagaan sendiri oleh kerana melakukan teknik yang tidak beretika (tanpa disedari)

Itulah formula 3P yang saya kongsikan di Wanita Hari Ini, TV3.

Wednesday, January 06, 2016

8 Cara membuka PINTU REZEKI dengan mudah

Oleh : Irfan Khairi.[12 Ogos 2015]

Mencari rezeki, InshaaAllah tidaklah susah. Dengan melakukan perkara-perkara yang dituntut agama, Allah swt menjanjikan pelbagai rezeki kepada kita.

Siang malam, pagi petang mungkin kita telah berusaha sedaya upaya bekerja, tetapi untuk membuka pintu rezeki dengan lebih luas lagi, tidak memerlukan usaha yang terlalu keras.

Lakukan 8 perkara mudah di bawah untuk membuka pintu rezeki…

1. Jangan derhaka pada ibu dan bapa. Selalu doakan dan gembirakan mereka.

2. Jangan bergaduh bersama saudara mara. Malah, eratkan silaturahim sesama keluarga.

3. Tunaikan haji apabila mampu. Walaupun duit akan keluar, rezeki akan masuk.

4. Jadikan tabiat menunaikan Solat Sunat Dhuha. Terbaiknya ketika matahari sedang naik selepas Syuruk.

5. Mulakan usaha dan kerja selepas solat Subuh. Jangan pula sambung tidur.

6. Amalkan surah Al Waqiah. Sabda Rasulullah SAW, ia adalah surah kekayaan yang perlu dibaca dan diajar kepada anak-anak.

7. Rezeki datang bila berkahwin. Jangan dilewat-lewatkan mendirikan rumah tangga.

8. … Dan apabila mendirikan rumah tangga, anak-anak juga akan membuka pelbagai pintu rezeki untuk keluarga!

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya” ~ Surah At-Talaq ayat 2-3