Thursday, October 31, 2013

Tips Perniagaan Internet MUDAH & MURAH

Oleh: Irfan Khairi.[12 September 2013]
Kini perniagaan Internet adalah tidak asing lagi. Ramai yang menjalankan perniagaan Internet menjual pakaian muslimah, tudung, aksesori, e buku, produk kesihatan dan macam-macam lagi. Musim perayaan juga tidak lama akan tiba, pastinya perniagaan Internet menjual kuih-kuih raya juga akan mula memeriahkan lagi di laman web, blog serta Facebook kita.
Saya telah menjalankan perniagaan Internet lebih dari 13 tahun kini dan antara manfaat perniagaan Internet yang paling saya suka dari dulu hingga kini,adalah pada kos menjalankan perniagaan Internet adalah rendah. Kita tidak perlu menyewa kedai yang mungkin berkos RM2,000-RM5,000 sebulan. Belum lagi di kira sebelum menyewa kedai, kos permulaan mengubah suai kedai mungkin berbelanja berpuluh ribu ringgit. Belum di kira juga kos overhead seperti elektrik, aircond, air, pekerja setiap bulan.
Menjalankan perniagaan Internet dapat mengurangkan kos perniagaan kita. Memiliki laman web tidaklah mahal. Blog pula boleh dimulakan secara percuma. Begitu juga dengan Facebook, selama ini kita gunakannya, tidak perlu bayar satu sen pun.
Hari ini, suka saya kongsikan beberapa tip untuk anda jalankan perniaagaan Internet anda pada kos yang rendah:
1.Mulakan perniagaan anda melalui blog percuma
Melalui perkhidmatan online seperti www.blogger.com anda dapat memulakan blog anda sendiri secara percuma. Anggap blog adalah sebagai kedai anda di mana pelawat boleh memasuki kedai anda, memilih apa yang mereka inginkan, kemudian melakukan bayaran kepada anda untuk mendapatkan produk tersebut.
Apa yang menarik mengenai blog adalah, ianya mudah untuk dipelajari. Sekiranya anda biasa menulis email, mengendalikan blog sendiri juga adalah mudah.
Satu perkara mengenai blog adalah, blog disukai oleh enjin pencari oleh kerana ia memberi maklumat, sering dikemas kini, serta interaktif dimana pelawat boleh meninggalkan komen balas. Ketiga-tiga ciri ini adalah ciri laman web yang disukai oleh enjin pencari dan sering di bawa ke muka surat hadapan enjin pencari dan memberi promosi percuma tambahan kepada perniagaan anda!
Image
2.Mulakan perniagaan anda di Facebook
Lebih kurang 50% penduduk Malaysia kini mempunyai akaun Facebook. Angka ini adalah amat tinggi untuk anda mencapai pasaran yang besar. Ramai antara kita sebelum membuat belian di Internet suka mendengar pandangan kawan atau keluarga. Media sosial seperti Facebook, merupakan satu platform di mana maklumat dapat dikongsikan dengan mudah melalui sharing. 
Pastinya anda pernah melihat mereka yang menjual pelbagai produk dan perkhidmatan di Facebook bukan? Bukan sahaja media sosial adalah percuma, media sosial seperti Facebook dapat membina jenama perniagaan anda dengan murah oleh kerana anda dapat mendekatkan lagi diri anda bersama prospek dan pelanggan tanpa sebarang kos.
3. Bina jenama anda
Satu teknik dalam mengurangkan kos promosi perniagaan anda adalah dengan membina jenama perniagaan anda. Apabila sesuatu nama atau jenama perniagaan itu diingati orang ramai, ianya sering menjadi pilihan pengguna walaupun tiada pengiklanan dilakukan. 
Cara membina jenama perniagaan di Internet adalah dengan banyak membantu orang ramai mendapatkan informasi-informasi berguna mengenai bidang yang dilakukan. Tidak kira sama ada melalui blog, ataupun media sosial, anda perlu kongsikan tips-tips berguna yang dapat membantu orang ramai mengenai industry anda.
Sebagai contoh, sekiranya anda menjual produk fesyen, maka kongsikan tip-tip fesyen. Sekiranya anda menjual produk kesihatan, maka kongsikan tip-tip kesihatan yang berkaitan. Dengan melakukan ini, kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap anda akan meningkat, dan ini juga akan meningkatkan jenama anda di mata orang ramai.
4. Dapatkan pasaran anda yang tertumpu
Internet adalah amat besar. Cara untuk anda mendapatkan prospek dan pelanggan adalah dengan mendapatkan pasaran yang tertumpu. Kenal pasti pasaran anda oleh kerana bukan semua orang akan berminat membeli produk atau perkhidmatan anda.
Tetapkan pasaran anda yang tertumpu dan beri fokus pada pasaran tersebut. Aktiviti cuba menjual kepada semua orang di Internet hanya membazirkan masa dan juga wang anda. Dengan mengenal pasti sasaran pasaran yang lebih tepat lagi, anda boleh memberi fokus membina jenama anda pada sasaran yang itu sahaja. Sebagai contoh, menjual peralatan memancing, fokuskan pada mereka yang mempunyai hobi memancing sahaja. Menjual jersi bola sepak, fokuskan kepada mereka yang minat bola sepak sahaja. Masa dan kos promosi anda akan dapat dijimatkan.
Menggunakan media Internet yang percuma, serta membina jenama anda di Internet adalah kunci untuk berjaya di Internet pada kos yang rendah!

Wednesday, October 30, 2013

4 Sebab Kita Membazir!

Oleh Irfan Khairi.[23 September 2013]

Adakah anda sanggup keluarkan wang satu ringgit dari poket anda dan koyak-koyakkannya? Pastinya jawapan anda adalah, TIDAK. Sebab apa? Sebab anda tidak akan membazir wang sebegitu. Tetapi, tanya pada diri sendiri. Pernah atau tidak anda membeli majalah atau buku, dan meletakkanya ke tepi di mana kemudian anda tidak sempat membacanya? Atau membeli baju baru, dan hanya sedar selepas beberapa bulan anda hanya memakainya sekali sahaja? Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda rasakan amat anda mahukannya, tetapi, sedar tak sedar, anda tidak perlukannya?

Pastinya pernah bukan? Ianya terjadi pada ramai antara kita.

Apabila melihat wang ringgit di tangan, semestinya kita sayangkannya  oleh kerana penat lelah kita bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi, bila datangnya masa untuk berbelanja dan membeli, adakalanya nilai barang yang dibeli sudah tidak dapat dilihat, dan di sini pembaziran pun berlaku.

 Image
Berikut adalah 4 sebab mengapakah pembaziran berlaku:

1. Kita memberi alasan untuk berbelanja

Kita sering memberi sebab mengapa kita perlu berbelanja, seperti "aku dah kerja keras, aku berhak berbelanja untuk kepuasan diri". Tidak kira, sama ada untuk membeli sesuatu yang mahal, makan minum yang mewah atau percutian diluar kemampuan. Adakalanya juga kita yakinkan diri sendiri untuk menjaga ego kita bahawa kita mampu berbelanja sedemikian.

2. Kita tak mahu dilihat kedekut

Adakalanya kita fikirkan apa orang lain berangapan mengenai kita. Kita rasakan orang akan menganggap kita kedekut sekiranya kita kurang berbelanja. Untuk meningkatkan keyakinan diri, kita berbelanja supaya mendapat apa yang dianggap persetujuan dari orang lain.

3. Kita suka pada kepuasan sebentar

Apabila emosi menguasai perasaan ingin membeli, pastinya kita akan membeli sesuatu itu, tidak kira sama ada perlu ataupun tidak. Kepuasan sementara yang dialami apabila mengeluarkan wang dan mendapatkan sesuatu itu dirasa bagaikan satu nikmat yang amat sangat.

4. Kita melengah-lengahkan masa menguasai wang

Saya yakin ramai antara kita ingin memperbaiki kewangan diri. Sama ada dengan cara ingin melabur, atau ingin memulakan perniagaan atau ingin pelajari skil baru untuk menambahkan lagi pendapatan. Namun, kita melengah-lengahkan masa dan tidak meletakkan ini sebagai  prioriti. Akibatnya, kita berbelanja dam membazir sehingga tiba waktu yang terbaik untuk kita mulakan langkah kita memperbaiki kewangan.

Dengan memahami dan mengetahui sebab kita membazirkan wang, maka kita setapak lagi kehadapan dalam memahami tabiat kewangan kita. Mudahan kita akan ingat 3 sebab ini sebelum kita melakukan pembaziran.

Tuesday, October 29, 2013

Bermula bisnes kecil menjadi BESAR

Oleh Irfan Khairi.[22 Oktober 2013]

Saya telah mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak kecil lagi. Di bangku sekolah, saya selalu melukis dan menjual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM, bila tiba musim raya, saya akan menjual kad raya kepada kepada kawan-kawan di kolej. Di peringkat university, saya mula mengenali perniagaan Internet. Kini pula, memiliki beberapa jenis perniagaan yang mempunyai pelanggan antarabangsa.

Ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan hari ini untuk menampungkan kos hidup yang kian meningkat. Kalau perniagaan kecil, maka untung pun kecil. Soalnya, daripada perniagaan yang kecil, bagaimana hendak menjadikannya lebih besar?

Langkah pertama adalah untuk mempunyai matlamat yang lebih besar. Selalunya, ramai yang selesa dengan perniagaan kecil. Kalau tiada matlamat untuk membesarkan perniagaan, pastinya perniagaan akan berada di tahap yang sama sahaja. Dalam perniagaan, perlu mempunyai matlamat jangka panjang.

Kebanyakan perniagaan kecil hanya fikirkan matlamat jangka pendek sahaja, iaitu untuk mendapat keuntungan sementara. Jangan lupa, 9 daripada 10 rezeki datangnya dalam perniagaan. Dan rezeki ini hanya akan tiba bila mempunyai matlamat yang lebih besar.

 Image
Selalu saya lihat usahawan yang mendapat untung, tidak menguruskan keuntungan tersebut dengan betul. Kebanyakan wang untung, terus dibelanjakan untuk perkara-perkara yang tidak mengembangkan perniagaan. Sebagai contoh, bila mendapat untung yang baik, terus upgrade kereta, renovate rumah, dan membeli gajet-gajet yang kesemuanya luput nilai.

Sepatutnya, gunakan peluang keuntungan perniagaan untuk kembangkan lagi perniagaan. Nasihat saya adalah, sekiranya perniagaan anda untung RM10, RM9 adalah untuk anda pusingkan dan kembangkan lagi perniagaan anda. RM1 adalah untuk belanja anda. Maka, keuntungan RM10,000 bermakna belanja anda sebagai usahawan adalah RM1,000 sahaja. Selebihnya RM9,000 adalah untuk kembangkan lagi perniagaan. Bukannya RM9,000 untuk beli barang!

Dengan menggunakan strategi ini sahaja, buat masa ini perniagaan saya sendiri tidak pernah mempunyai pinjaman bank, ataupun bantuan kerajaan berbentuk geran atau mendapat tender.

Sudah punyai matalamat, dan pengurusan kewangan perniagaan juga cukup, maka langkah seterusnya adalah untuk belajar dari perniagaan yang besar. Baca dan pelajari kisah kejayaan perniagaan-perniagaan besar yang lain bagaimana kebanyakannya berkembang menjadi perniagaan antarabangsa tetapi bermula sebagai perniagaan kecil.

Perniagaan seperti Body Shop, Subway, McDonalds, Starbucks dan banyak lagi, kesemuanya mempunyai kisah kejayaan yang boleh dipelajari bagaimana pemiliknya berjaya membesarkan perniagaan mereka. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa sebulan dua, atau setahun dua kepada perniagaan anda. Namun, kuncinya adalah ianya tidak mustahil untuk perniagaan kecil anda, menjadi perniagaan yang besar. Percayalah, saya sendiri melaluinya!

Thursday, July 26, 2012

TIP PILIHAN: Susah Senang Menjalankan Perniagaan


Oleh: Irfan Khairi. [6 April 2010]
Soalan cepu gangsa:

    Menjalankan perniagaan, senang ke, susah?

    * Bagi mereka yang belum lagi memulakan perniagaan, ramai yang fikir perniagaan tu senang
    * Bagi mereka yang baru menjalankan perniagaan, ramai yang fikirkan perniagaan tu susah
    * Bagi mereka yang dah berpengalaman dalam perniagaan, mereka rasakan perniagaan itu senang

Sama ada perniagaan itu senang atau susah, bergantung kepada tahap keadaan kita. Bila kita belum lagi memulakan perniagaan, kita lihat seperti perniagaan ini senang. Kerana kita belum lagi "merasa" perniagaan. Kita sekadar melihat kisah-kisah orang berjaya dalam perniagaan.


Bila kita BARU mulakan perniagaan, baru kita rasa perniagaan tu susah. Kerana sebelum ni kita kaitkan perniagaan dengan keuntungan sahaja. Tak pula fikir tentang perlu promosi, perlu menjaga pelanggan, perlu lakukan accounting, perlu handle staff, perlu fikirkan kaedah dan strategi untuk bersaing dengan pesaing yang begitu ramai!

Bila kita dah setahun dua berpengalaman dalam perniagaan, baru kita rasa perniagaan tu senang kembali kerana kita dah biasa dengan perniagaan & belajar selok belok perniagaan sepanjang pengalaman kita ;)

Masalahnya, ramai yang give up atau berputus asa sebelum sampai tahap perniagaan itu senang kembali. Dalam masa setahun, apabila melalui kesukaran perniagaan, ramai yang gulung tikar kerana tak tahan... betapa susahnya menjalankan perniagaan!

Tuesday, July 24, 2012

ARTIKEL: 11 Formula kejayaan (bahagian 2... sambungan artikel minggu lepas)


Oleh: Irfan Khairi. [30 Mac 2010]

6: Tetapkan deadline

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?

Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri... oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja... berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat.

7: Ketahui rintangan

Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.

Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu perjalanan mencari ilmu. Setiap rintangan yang anda temui walaupun sekecil manapun akan memperbaiki diri anda untuk rintangan-rintangan yang lebih besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang berjaya didunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman menghadapi rintangan-rintangan tersebut.

Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang akan muncul.

8: Ilmu tambahan

Ketahui Ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang merupakan anugerah yang paling istemewa sekali.

Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang anda perlu ketahui untuk mencapai matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan yang anda perlukan? Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah maklumat yang paling penting atau kebolehan yang paling penting untuk andapunyai dalam mencapai matlamat anda?

Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua  yang anda perlu tahu dalam mencapai matlamat anda.

9: Perancangan

Kata pakar motivasi "Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal"

Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi- seperti kontraktor memerlukan plan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Anda juga perlu plan untuk mencapai menara gading.

Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam masa 1 bulan, apa yang anda perlu buat? Sekiranya ia tidak menjadi, apakah alternatif yang lain?

Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ianya akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. Sekiranya anda merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, hebatlah pulangan yang anda akan terima.

Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini adalah mereka yang sering ditpu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang sendiri.

10: Bina gambaran

"A picture paints a thousand words". Beri gambaran yang jelas di fikiran anda bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau, 10 tahun dari sekarang.

Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga akan membakar semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran anda dengan gambaran kejayaan anda di masa hadapan.

Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11: Janji pada diri sendiri...

Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan yang akan datang. Tidak kira apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali putus asa! Sekiranya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan- usah risau. Kejayaan adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan- oleh sebab itulah saya gelarkannya sahabat karib.

Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa kegagalan. Lagi banyak kegagalan anda temui, ianya bermaksud lagi hampir kejayaan kepada anda. Jangan putus asa oleh kerana kejayaan mungkin sedang menunggu disebalik kegagalan itu.

Berita baiknya adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan pengalaman sendiri. Lebih banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, lebih banyak anda dapat pelajari. Anda akan mempelajari lebih banyak dari sesuatu kegagalan. Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara anda- jangan pula ikut cara yang sama oleh kerana cara yang sama akan membawa kegagalan seterusnya!

Kesimpulan

Kesemua formula kejayaan ini perlu di implementasikan setiap satu. Ini adalah "blue print" orang-orang yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula kejayaan saya sendiri sehingga hari ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai matlamat baru, saya akan rujuk kembali formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.

Tidak sampai setahun lalu saya menetapkan matlamat saya, dan kini, dengan mengikuti formula yang diberikan, alhamdulillah saya mencapainya.

Kini, anda juga mempunyai formula kejayaan. Implimentasikannya kepada matlamat anda, dan saya yakin anda juga akan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang!

'Ubat' Untuk Memantapkan Diri Di Dalam Perniagaan.‏


===============================================================
Peluru 1* : TETAPKAN MATLAMAT
===============================================================

Sebelum menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,
perlu tetapkan matlamat atau menanam cita-cita.
Ini kerana,tanpa matlamat seperti nakhoda
yang belayar kelautan luas tanpa ada arah tujuan!!.

Tetapi pastikan matlamat atau cita-cita yang
tetapkan hendaklah rasional dan mampu dicapai.
Sebagai contoh:

Mendapatkan RM1 juta pertama dalam masa 3 bulan dengan
hanya menjual kuih di gerai.

Matlamat sewajarnya biarlah mampu di capai dengan kemampuan
kita. Lebih baik sedikit tetapi matlamat tercapai.

Bila matlamat tercapai, secara automatic
akan lebih bersemangat dan bermotivasi.. ;)


===============================================================
Peluru 2* : FOKUS ( Focus)
===============================================================

Ok , bila sudah tetapkan matlamat.. so perlu lah
focus kepada matlamat tersebut. Kalau hanya tetapkan matlamat
tetapi takde tindakan dan focus, takde guna jugak kan…

Fokus merupakan satu perkara yang amat penting, dan ia perlu
berada dalam diri , terutamanya bila ingin
menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.

Melakukan sesuatu perkara itu berserta fokus yang
tinggi sebenarnya kunci kepada kejayaan mana-mana
usahawan di dunia ini.

Tanpa fokus,  tidak akan berjaya menjadi
Seorang usahawan yang berjaya. Percayalah!!


===============================================================
Senjata #3 : SEMANGAT
===============================================================

Saya pasti  pernah gagal dan ramai orang di luar
sana mengeluh bahawa mereka juga pernah gagal. Tetapi
pada saya mereka bukannya gagal, mereka cuma
belum menjumpai strategi atau ramuan yang sebenar untuk
mencapai kejayaan.

Maksud saya di sini,  hendaklah berfikir secara
positif. Bila pemikiran positif, secara tidak langsung tindak
balas atau reaksi  juga positif.

Mungkin jika Alexander Graham Bell mengaku bahawa
beliau gagal dalam mencipta telefon,
mungkin sampai hari ini kita masih menggunakan burung merpati
untuk hantar maklumat ke tempat lain. heheh.

ARTIKEL: 11 Formula kejayaan (bahagian 1)


Oleh: Irfan Khairi. [22 Mac 2010]

1:  Keinginan

Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai apa jua matlamat yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut.

Keinginan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda letakkan untuk diri anda sendiri.

Punca utama seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut kepada kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak akan mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. Keinginan akan membawa anda untuk mengambil langkah pertama tersebut.

Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.

2: Keyakinan

Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini "Jika kau fikirkan kau boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak menentu"

Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyi nya amat cliché, tetapi lagu yang simple ini mengandungi mesej yang amat besar!

Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak menoleh kebelakang lagi.

Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub... anda tidak perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sendiri sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai... anda perlu tunjuk bahawa cita-cita anda tercapai- itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai.

Dalam menetapkan matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik akan membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda sebanyak 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik!

Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya tidak tercapai.

3: Tulis matlamat anda

Ini AMAT penting. Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah berapa kali saya mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.

Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri anda sendiri. Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati anda secara sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikannya.

Matlamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata- boleh di sentuh. Anda telah membawa matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat mengenggamkannya!

4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi

Apa yang anda akan dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda menyenaraikan motivasi-motivasi yang akan membakar semangat anda untuk terus berusaha dan mencapai kebaikan tersebut.

Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda akan kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut. Berikan sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah pulangan yang anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda sekiranya matlamat itu tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat anda untuk mencapaikannya.

 5: Cermin kan diri sendiri

Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika ini, apakah keadaan anda. Anda perlu ketahui di mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang anda telah tetapkan.

Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh kerana itu adalah titik permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas anda dapat melihat jalan ke arah pencapaian matlamat.

Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

(bersambung... ikuti langkah ke 6 hingga 11 dalam sambungan artikel ini minggu !)