Monday, September 01, 2014

3 Kunci Menjadi KAYA!

Oleh: Irfan Khairi.[12 Mei 2014]

Alhamdulillah rezeki saya dalam perniagaan Internet sejak 13 tahun dahulu. Jauh juga perjalanannya dan seperti apa sahaja pencapaian yang berbaloi, pasti ada cabarannya. Artikel kali ini saya ingin kongsikan 3 kunci kejayaan dan kekayaan yang perlu dimiliki.

1.      Jangan putus asa bila gagal

Untuk mencapai apa sahaja yang berbaloi, pasti ada kesusahannya dan cabarannya. Tiada jalan pintas untuk mencapai kekayaan. Kegagalan adalah sesuatu yang biasa ditemui apabila mengejar kekayaan. Sekiranya ingin berjaya, kalau jatuh 9 kali, anda tetap perlu bangun 10 kali. Baca sahaja kisah-kisah orang yang berjaya dari serata dunia, pastinya terdapat kisah kegagalan dan kesusahan yang diceritakan.

Ketika tahun 2000 saya memulakan perniagaan Internet saya yang pertama, bukanlah terus berjaya. Malah, perniagaan Internet pertama saya melalui kegagalan. Dalam jangka masa setahun menjalankan perniagaan Internet, saya cuma berjaya mendapatkan 3 pelanggan sahaja. Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya ketika itu oleh kerana saya amat suka membaca biografi kisah orang-orang berjaya. Kesemuanya pernah mengalami kegagalan.

Walaupun mendapat hanya 3 pelanggan dalam masa setahun, saya tetap meneruskan perniagaan Internet saya. Bayangkan sekiranya saya berputus asa pada tahun 2000 kerana hanya mendapat 3 pelanggan sahaja, tidaklah rasanya saya dapat bersama anda hari ini berkongsikan kisah saya. Pesanan saya kepada anda, JANGAN-JANGAN-JANGAN putus asa!

2.      Tambahkan ilmu untuk berjaya

Usaha tanpa ilmu adalah sia-sia. Apakah sebab utama kegagalan? Sudah tentunya kurangnya ilmu. Bagaimana untuk berjaya? Pastinya perlu tambahkan ilmu! Mengapa perniagaan saya pertama gagal sehingga hanya mendapat 3 pelanggan sahaja? 

Jawapanya adalah saya menjalankan perniagaan tanpa ilmu yang betul.

Cari jalan dan peluang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran anda. Saya pernah menulis sebelum ini bahawa pelaburan yang terbaik adalah pelaburan kepada meningkatkan ilmu kita sendiri tidak kira dalam apa jua bidang. Ianya dikatakan terdapat persamaan antara ilmu dan pendapatan. Lebih tinggi ilmu yang dimiliki, lebih tinggi peluang untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Banyakkan membaca dalam bidang anda untuk meningkatkan ilmu. Pelajari dari mereka yang mengetahui dalam bidang anda dan jangan henti dalam mencari ilmu. Saya sendiri juga sering mencari ilmu dan pengalaman diserata dunia selagi mampu badan untuk meningkatkan ilmu dan kejayaan.

Apabila mendapat ilmu, pastikan anda mengaplikasikannya untuk mendapat keputusan terbaik!
Image
3.      Kemahuan untuk berubah

Melakukan perkara yang sama, pastinya akan memberi keputusan yang sama. Untuk berjaya perlukan perubahan sama ada dari cara kita melakukan sesuatu, cara pemikiran dan juga perubahan tabiat.

Fikirkan dan gambarkan keadaan kewangan kita hari ini. Adakah kita berpuas hati dengan dengan keadaan kewangan kini? Fikirkan juga keadaan keluarga, suami, isteri, ibu, bapa atau anak-anak. Bagaimana keadaan kewangan kita hari ini akan menjadi sama sahaja 2, 5 atau 10 tahun akan datang sekiranya kita tidak berubah. Malah, mungkin akan menjadi teruk lagi oleh kerana makin lama, kos sara hidup semakin meningkat dan sekiranya kita tidak berubah untuk menampung kenaikan kos sara hidup, pastinya keadaan kewangan dan kekayaan kita akan menjadi lebih teruk lagi 2, 5 atau 10 tahun akan datang.

Mereka yang berjaya adalah mereka yang mengambil tanggungjawab untuk berubah kearah kebaikan dan sentiasa memperbaiki diri untuk mencapai sesuatu yang lebih baik lagi. Segalanya tidak akan menjadi sekiranya tiada kemahuan di dalam diri sendiri.

Lihat sahaja dikeliling, pastinya ramai yang mempunyai ilmu. Ramai juga yang berpendidikan tinggi. Tetapi, adakah ianya mencukupi? Pastinya anda mengenali mereka yang mempunyai penidikan dan ilmu yang tinggi, tetapi kekayaan tetap pada takuk lama. Sebabnya adalah, tiada kemahuan untuk berubah. Ilmu sahaja tidak mencukupi. Ilmu yang diaplikasikan dengan betul adalah lebih penting lagi.

Bagaimana pula mereka yang kurang ilmu pula? Pastinya peluang untuk berjaya dan menjadi kaya adalah kurang. Tetapi, dengan kemahuan untuk berubah disitu yang kita sering lihat kisah usahawan berjaya walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.

Kesimpulan

Natijahnya, semua orang berpeluang untuk mencapai kejayaan dan kekayaan. Tidak kira jantina, umur, latar belakang, kekayaan adalah milik semua yang terus berusaha tanpa putus asa. Ilmu merupakan kunci mencapai apa sahaja kejayaan yang ingin dikecapi dan yang pentingnya adalah diri anda sendiri. Adakah anda bersedia untuk berubah untuk mencapai kekayaan yang anda impi-impikan? 

Lagi Tinggi Pendapatan... lagi tinggi belanja

Oleh: Irfan Khairi.[16 Mei 2014]

Masalah kewangan bukan sahaja hadir pada mereka yang kekurangan wang. Mereka yang banyak wang juga mempunyai masalah wang. Bak pepatah yang berbunyi. "Lebih besar periuk, lebih besar keraknya". Bila pendapatan bertambah, perbelanjaan juga turut bertambah. Prinsip ini dikenali sebagai undang-undang Parkinson, dihasil oleh penulis C. Northcote Parkinson bertahun-tahun dulu. Prinsip ini juga menjelaskan mengapa mereka yang berpendapatan tinggi juga boleh menghadapi masalah kewangan.

Pendapatan naik, perbelanjaan naik

Bukan satu keadaan yang luar biasa bila pendapatan kita hari ini, mungkin sudah lebih daripada pendapatan kita ketika baru mendapat kerja bertahun-tahun lalu.  Pada ketika itu, rasa seperti kewangan tidak cukup sekadar cukup-cukup makan sahaja. Hari ini, bila pendapatan sudah berganda, pelik apabila mungkin dirasakan kewangan tidak mencukupi menanggung gaya hidup hari ini.

Tabiat manusia sering mahu berbelanja apa yang dimiliki, dan lebih lagi. Tidak kira berapa banyak pendapatan, tetap merasakan ianya tidak mencukupi.

Melawan arus

Untuk keluar daripada keadaan ini, secara sedar seseorang itu perlu melawan arus undang-undang Parkinson. Anda perlu bertekad untuk melawan kehedak untuk berbelanja lebih apabila mendapat pendapatan yang lebih.

Sememangnya kita merasakan apabila pendapatan bertambah, kita mampu membeli lebih banyak barangan untuk kepuasan diri. Namun sekiranya kenaikan perbelanjaan adalah selari dengan kenaikan pendapatan, maka keadaan kita adalah sama sahaja ketika berpendapatan rendah.

Teringat saya pada satu perjumpaan bersama suami dan isteri yang berpendapatan agak tinggi. Gabungan pendapatan bulanan suami dan isteri itu adalah tinggi sehingga mencecah RM30,000. Tetapi, dengan memiliki 4 buah kereta mewah, dan rumah bungalow yang bernilai RM3juta yang masih berhutang. Dihujung bulan  baki wang yang ada ditangan adaah kurang dari RM2,000 sahaja bulanan apabila telah ditolak dengan perbelanjaan-perbelanjaan mewah yang lain. Maklumlah, apabila memiliki rumah mewah dan kereta mewah, pastinya perlu keluar makan-makan pun di tempat yang mewah juga.

Baki sebulan dalam lingkungan RM2,000 mungkin dilihat adalah besar. Tetapi jangan lupa pula, bila gaya hidup mewah selain daripada perbelanjaan rutin yang mewah, perbelanjaan kecemasan juga adalah mewah!

Bayangkan sekiranya kereta mewah perlu di hantar servis kerana  ada kerosakan. Tak akan pula belanja bengkel kereta mewah beratus ringgit. Pastinya beribu ringgit dan jangan lupa gandakan dengan 4 biji kereta. Ataupun kos baik pulih sebarang kerosakan dirumah. Pastinya rumah mewah menggunakan lekapan mewah. Harga gantinya? Anda sendiri tahu jawapan bukan?

Apa yang berlaku disini adalah keadaan keluarga yang tewas dengan undang-undang Parkinson. Walaupun berpendapatan tinggi, tetapi tidak mampu mengelakkan diri  dari masalah kewangann

Mampukah anda...

Kemampuan kewangan bukan hanya dilihat pada sama ada anda mampu mendapatkan sesuatu itu pada pendapatan anda kini. Tetapi, sama ada anda mampu mengekalkan gaya hidup anda. Bukan untuk sebulan dua atau setahun dua, tetapi untuk berpuluh tahun akan datang. Tidak semestinya apabila anda berpendapatan tinggi, anda akan hidup selesa bebas masalah kewangan. Anda akan bebas kewangan apabila secara sedar dengan tekad anda melawan undang-undang Parkinson ini. 

Pakai simple, tapi kaya. Pakai smart tapi miskin.

Oleh Irfan Khairi.[29 Ogos 2014]

Adakalanya ketika di pusat membeli belah, saya perasan keadaan di mana seorang makcik berpakaian serba sederhana sedang meninjau-ninjau barangan, tidak dilayan. Tetapi, seorang lelaki yang berpakaian serba segak berkot dan tali leher, amat pantas dilayani 2 orang jurujual.

Memang menjadi lumrah, yang cantik dan bergaya akan diberi perhatian. Kata orang putih Don't judge a book by it's cover, yang bermaksud jangan sesekali melihat pada luaran sahaja kerana dalaman tiada siapa yang tahu.

Siapa tahu, mungkin makcik yang sedang meninjau-ninjau barangan berpakaian serba sederhana itu adalah seorang usahawan jutawan? Tidak siapa tahu juga, lelaki segak yang berpakaian hebat mungkin hutang keliling pinggang dan terkejar-kejar membayar bayaran kereta setiap bulan.

Pada hakikatnya, ramai yang berpegang pada pepatah "Biar papa asal bergaya". Hujung bulan, tidak hirau bank berbaki negatif asalkan bergaya dengan kereta mewah dan pakaian segak.

Konsep sebegini semestinya adalah salah. Namun tulisan saya kali ini bukan untuk memberi teknik dan strategi berjimat dan menyimpan, tetapi, lebih kepada hubungan antara wang dan cara kita melihat diri kita sendiri.

Selalunya, apabila memilikki wang, ia memberi keyakinan diri yang tinggi pada seseorang, berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai wang. Wang seolah-olah mempunyai kaitan dengan keyakinan diri kita sendiri. Adakalanya juga wang akan membuat kita rasa gembira apabila sedang bersedihan bila kita keluar melakukan terapi membeli belah. Tetapi, ada kalanya juga, boleh membuatkan kita marah dan sedih bila kekurangan wang untuk belanja pada isi rumah dan keluarga.
Image
Berbalik kita kepada persoalan seseorang yang memakai pakaian yang kemas, berkot dan bertali leher dibandingkan dengan seseorang yang berpakaian agak ringkas mungkin hanya baju T dan berseluar jeans. Pastinya juga, seseorang yang memakai pakaian kemas akan dapat merasakan keyakinan diri pada diri sendiri meningkat. Sebagai tambahan, orang sekeliling juga mungkin melayan mereka dengan lebih baik juga akan menambahkan lagi keyakinan.

Namun tidak bermakna juga seseorang yang memakai baju T dan jeans tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya teringat beberapa ikon keusahawanan yang saya minati seperti Richard Branson dan Steve Jobs yang merupakan bilionair, sering mengenakan pakaian ringkas walaupun di majlis rasmi. Ini kerana, bagi mereka, keyakinan diri tidak datang daripada cara pemakaian.

Ianya bergantung kepada individu itu sendiri. Keyakinan diri tidak semestinya datang daripada wang sahaja. Ianya dikatakan rezeki datang dalam pelbagai cara. Bukan hanya wang. Kesihatan, keluarga bahagia, ilmu pendidikan, kenalan, saudara mara dan sebagainya juga adalah rezeki seseorang itu. Dengan melihat positif semua rezekki yang kita miliki dan menjadikannya picu untuk meningkatkan keyakinan diri, seseorang itu tetap dapat merasakan keyakinan diri meningkat.

Apa yang perlu diingat adalah, seperti pepatah don't judge a book by it's cover. Orang yang pakai simple, jangan disangka tidak berduit. Orang pakai kot, kemeja, tali leher dan slack, tak semestinya kaya. Apa yang penting adalah, untuk melayan semua insan dengan baik tidak kira gaya dan penampilan. Tidak kira kaya ataupun miskin.