Thursday, October 31, 2013

Tips Perniagaan Internet MUDAH & MURAH

Oleh: Irfan Khairi.[12 September 2013]
Kini perniagaan Internet adalah tidak asing lagi. Ramai yang menjalankan perniagaan Internet menjual pakaian muslimah, tudung, aksesori, e buku, produk kesihatan dan macam-macam lagi. Musim perayaan juga tidak lama akan tiba, pastinya perniagaan Internet menjual kuih-kuih raya juga akan mula memeriahkan lagi di laman web, blog serta Facebook kita.
Saya telah menjalankan perniagaan Internet lebih dari 13 tahun kini dan antara manfaat perniagaan Internet yang paling saya suka dari dulu hingga kini,adalah pada kos menjalankan perniagaan Internet adalah rendah. Kita tidak perlu menyewa kedai yang mungkin berkos RM2,000-RM5,000 sebulan. Belum lagi di kira sebelum menyewa kedai, kos permulaan mengubah suai kedai mungkin berbelanja berpuluh ribu ringgit. Belum di kira juga kos overhead seperti elektrik, aircond, air, pekerja setiap bulan.
Menjalankan perniagaan Internet dapat mengurangkan kos perniagaan kita. Memiliki laman web tidaklah mahal. Blog pula boleh dimulakan secara percuma. Begitu juga dengan Facebook, selama ini kita gunakannya, tidak perlu bayar satu sen pun.
Hari ini, suka saya kongsikan beberapa tip untuk anda jalankan perniaagaan Internet anda pada kos yang rendah:
1.Mulakan perniagaan anda melalui blog percuma
Melalui perkhidmatan online seperti www.blogger.com anda dapat memulakan blog anda sendiri secara percuma. Anggap blog adalah sebagai kedai anda di mana pelawat boleh memasuki kedai anda, memilih apa yang mereka inginkan, kemudian melakukan bayaran kepada anda untuk mendapatkan produk tersebut.
Apa yang menarik mengenai blog adalah, ianya mudah untuk dipelajari. Sekiranya anda biasa menulis email, mengendalikan blog sendiri juga adalah mudah.
Satu perkara mengenai blog adalah, blog disukai oleh enjin pencari oleh kerana ia memberi maklumat, sering dikemas kini, serta interaktif dimana pelawat boleh meninggalkan komen balas. Ketiga-tiga ciri ini adalah ciri laman web yang disukai oleh enjin pencari dan sering di bawa ke muka surat hadapan enjin pencari dan memberi promosi percuma tambahan kepada perniagaan anda!
Image
2.Mulakan perniagaan anda di Facebook
Lebih kurang 50% penduduk Malaysia kini mempunyai akaun Facebook. Angka ini adalah amat tinggi untuk anda mencapai pasaran yang besar. Ramai antara kita sebelum membuat belian di Internet suka mendengar pandangan kawan atau keluarga. Media sosial seperti Facebook, merupakan satu platform di mana maklumat dapat dikongsikan dengan mudah melalui sharing. 
Pastinya anda pernah melihat mereka yang menjual pelbagai produk dan perkhidmatan di Facebook bukan? Bukan sahaja media sosial adalah percuma, media sosial seperti Facebook dapat membina jenama perniagaan anda dengan murah oleh kerana anda dapat mendekatkan lagi diri anda bersama prospek dan pelanggan tanpa sebarang kos.
3. Bina jenama anda
Satu teknik dalam mengurangkan kos promosi perniagaan anda adalah dengan membina jenama perniagaan anda. Apabila sesuatu nama atau jenama perniagaan itu diingati orang ramai, ianya sering menjadi pilihan pengguna walaupun tiada pengiklanan dilakukan. 
Cara membina jenama perniagaan di Internet adalah dengan banyak membantu orang ramai mendapatkan informasi-informasi berguna mengenai bidang yang dilakukan. Tidak kira sama ada melalui blog, ataupun media sosial, anda perlu kongsikan tips-tips berguna yang dapat membantu orang ramai mengenai industry anda.
Sebagai contoh, sekiranya anda menjual produk fesyen, maka kongsikan tip-tip fesyen. Sekiranya anda menjual produk kesihatan, maka kongsikan tip-tip kesihatan yang berkaitan. Dengan melakukan ini, kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap anda akan meningkat, dan ini juga akan meningkatkan jenama anda di mata orang ramai.
4. Dapatkan pasaran anda yang tertumpu
Internet adalah amat besar. Cara untuk anda mendapatkan prospek dan pelanggan adalah dengan mendapatkan pasaran yang tertumpu. Kenal pasti pasaran anda oleh kerana bukan semua orang akan berminat membeli produk atau perkhidmatan anda.
Tetapkan pasaran anda yang tertumpu dan beri fokus pada pasaran tersebut. Aktiviti cuba menjual kepada semua orang di Internet hanya membazirkan masa dan juga wang anda. Dengan mengenal pasti sasaran pasaran yang lebih tepat lagi, anda boleh memberi fokus membina jenama anda pada sasaran yang itu sahaja. Sebagai contoh, menjual peralatan memancing, fokuskan pada mereka yang mempunyai hobi memancing sahaja. Menjual jersi bola sepak, fokuskan kepada mereka yang minat bola sepak sahaja. Masa dan kos promosi anda akan dapat dijimatkan.
Menggunakan media Internet yang percuma, serta membina jenama anda di Internet adalah kunci untuk berjaya di Internet pada kos yang rendah!

Wednesday, October 30, 2013

4 Sebab Kita Membazir!

Oleh Irfan Khairi.[23 September 2013]

Adakah anda sanggup keluarkan wang satu ringgit dari poket anda dan koyak-koyakkannya? Pastinya jawapan anda adalah, TIDAK. Sebab apa? Sebab anda tidak akan membazir wang sebegitu. Tetapi, tanya pada diri sendiri. Pernah atau tidak anda membeli majalah atau buku, dan meletakkanya ke tepi di mana kemudian anda tidak sempat membacanya? Atau membeli baju baru, dan hanya sedar selepas beberapa bulan anda hanya memakainya sekali sahaja? Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda rasakan amat anda mahukannya, tetapi, sedar tak sedar, anda tidak perlukannya?

Pastinya pernah bukan? Ianya terjadi pada ramai antara kita.

Apabila melihat wang ringgit di tangan, semestinya kita sayangkannya  oleh kerana penat lelah kita bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi, bila datangnya masa untuk berbelanja dan membeli, adakalanya nilai barang yang dibeli sudah tidak dapat dilihat, dan di sini pembaziran pun berlaku.

 Image
Berikut adalah 4 sebab mengapakah pembaziran berlaku:

1. Kita memberi alasan untuk berbelanja

Kita sering memberi sebab mengapa kita perlu berbelanja, seperti "aku dah kerja keras, aku berhak berbelanja untuk kepuasan diri". Tidak kira, sama ada untuk membeli sesuatu yang mahal, makan minum yang mewah atau percutian diluar kemampuan. Adakalanya juga kita yakinkan diri sendiri untuk menjaga ego kita bahawa kita mampu berbelanja sedemikian.

2. Kita tak mahu dilihat kedekut

Adakalanya kita fikirkan apa orang lain berangapan mengenai kita. Kita rasakan orang akan menganggap kita kedekut sekiranya kita kurang berbelanja. Untuk meningkatkan keyakinan diri, kita berbelanja supaya mendapat apa yang dianggap persetujuan dari orang lain.

3. Kita suka pada kepuasan sebentar

Apabila emosi menguasai perasaan ingin membeli, pastinya kita akan membeli sesuatu itu, tidak kira sama ada perlu ataupun tidak. Kepuasan sementara yang dialami apabila mengeluarkan wang dan mendapatkan sesuatu itu dirasa bagaikan satu nikmat yang amat sangat.

4. Kita melengah-lengahkan masa menguasai wang

Saya yakin ramai antara kita ingin memperbaiki kewangan diri. Sama ada dengan cara ingin melabur, atau ingin memulakan perniagaan atau ingin pelajari skil baru untuk menambahkan lagi pendapatan. Namun, kita melengah-lengahkan masa dan tidak meletakkan ini sebagai  prioriti. Akibatnya, kita berbelanja dam membazir sehingga tiba waktu yang terbaik untuk kita mulakan langkah kita memperbaiki kewangan.

Dengan memahami dan mengetahui sebab kita membazirkan wang, maka kita setapak lagi kehadapan dalam memahami tabiat kewangan kita. Mudahan kita akan ingat 3 sebab ini sebelum kita melakukan pembaziran.

Tuesday, October 29, 2013

Bermula bisnes kecil menjadi BESAR

Oleh Irfan Khairi.[22 Oktober 2013]

Saya telah mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak kecil lagi. Di bangku sekolah, saya selalu melukis dan menjual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM, bila tiba musim raya, saya akan menjual kad raya kepada kepada kawan-kawan di kolej. Di peringkat university, saya mula mengenali perniagaan Internet. Kini pula, memiliki beberapa jenis perniagaan yang mempunyai pelanggan antarabangsa.

Ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan hari ini untuk menampungkan kos hidup yang kian meningkat. Kalau perniagaan kecil, maka untung pun kecil. Soalnya, daripada perniagaan yang kecil, bagaimana hendak menjadikannya lebih besar?

Langkah pertama adalah untuk mempunyai matlamat yang lebih besar. Selalunya, ramai yang selesa dengan perniagaan kecil. Kalau tiada matlamat untuk membesarkan perniagaan, pastinya perniagaan akan berada di tahap yang sama sahaja. Dalam perniagaan, perlu mempunyai matlamat jangka panjang.

Kebanyakan perniagaan kecil hanya fikirkan matlamat jangka pendek sahaja, iaitu untuk mendapat keuntungan sementara. Jangan lupa, 9 daripada 10 rezeki datangnya dalam perniagaan. Dan rezeki ini hanya akan tiba bila mempunyai matlamat yang lebih besar.

 Image
Selalu saya lihat usahawan yang mendapat untung, tidak menguruskan keuntungan tersebut dengan betul. Kebanyakan wang untung, terus dibelanjakan untuk perkara-perkara yang tidak mengembangkan perniagaan. Sebagai contoh, bila mendapat untung yang baik, terus upgrade kereta, renovate rumah, dan membeli gajet-gajet yang kesemuanya luput nilai.

Sepatutnya, gunakan peluang keuntungan perniagaan untuk kembangkan lagi perniagaan. Nasihat saya adalah, sekiranya perniagaan anda untung RM10, RM9 adalah untuk anda pusingkan dan kembangkan lagi perniagaan anda. RM1 adalah untuk belanja anda. Maka, keuntungan RM10,000 bermakna belanja anda sebagai usahawan adalah RM1,000 sahaja. Selebihnya RM9,000 adalah untuk kembangkan lagi perniagaan. Bukannya RM9,000 untuk beli barang!

Dengan menggunakan strategi ini sahaja, buat masa ini perniagaan saya sendiri tidak pernah mempunyai pinjaman bank, ataupun bantuan kerajaan berbentuk geran atau mendapat tender.

Sudah punyai matalamat, dan pengurusan kewangan perniagaan juga cukup, maka langkah seterusnya adalah untuk belajar dari perniagaan yang besar. Baca dan pelajari kisah kejayaan perniagaan-perniagaan besar yang lain bagaimana kebanyakannya berkembang menjadi perniagaan antarabangsa tetapi bermula sebagai perniagaan kecil.

Perniagaan seperti Body Shop, Subway, McDonalds, Starbucks dan banyak lagi, kesemuanya mempunyai kisah kejayaan yang boleh dipelajari bagaimana pemiliknya berjaya membesarkan perniagaan mereka. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa sebulan dua, atau setahun dua kepada perniagaan anda. Namun, kuncinya adalah ianya tidak mustahil untuk perniagaan kecil anda, menjadi perniagaan yang besar. Percayalah, saya sendiri melaluinya!